| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM, rakyat Malaysia pertama temui Genus Actinobacteria dari Antartika

Oleh: Nurul Izzaty Mohd Azhari
Gambar: Mohammad Izrul Abdul Jabar

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Ketua Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK),  Universiti Putra Malaysia (UPM),  Prof. Ts. Dr. Cheah Yoke Kqueen menerima sijil  pengiktirafan oleh pihak Malaysia Book of Records sebagai rakayat Malaysia pertama temui Genus Actinobacteria dari Antartika yang dinamakan Barrientosiimonas humi.

Prof. Ts. Dr. Cheah Yoke Kqueen berkata penemuan genus itu berupaya menghasilkan bahan-bahan aktif yang berguna yang boleh merencatkan sel-sel kanser.

"Ia boleh merencatkan sel-sel barah tertentu dan digunakan dalam pendidikan perubatan. Uniknya nama Genus Actinobacteria iaitu Barrientosiimonas humi adalah kerana ia dijumpai di pulau Barrientos manakala Monas pula adalah bentuk mikrob tersebut.

"Penamaan bakteria ini adalah cadangan daripada polar saintifik negara-negara yang terlibat," katanya. 

Penyampaian sijil tersebut diberikan dalam majlis perasmian Pameran Khabar dari Antartika bersempena ulang tahun ke sepuluh penubuhan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Alam Sekitar dan Air,  Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man,  Ahli Lembaga YPASM, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahya, Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, Mohd Nasaruddin Abdul Rahman. - UPM

WXFSMA~