| Universiti Putra Malaysia

Penglibatan sukan bukan penghalang atlet, suami isteri sama-sama bergraduat

Oleh:  Nisa Sahira Samsudin
Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan, FEM, UPM

SERDANG, 8 Jan - Penglibatan diri dalam sukan dan menumpukan pengajian adalah dua perkara yang tidak mudah untuk dilaksana meskipun dibuat berasingan.

Namun, ianya bukan satu masalah bagi kedua-dua atlet kebangsaan ini.

Atlet olahraga, Mohamed Farhan Hafsyam Zahid dan atlet Boling, Syazana Aqilah Lokman berjaya bergraduat program Bacelor Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-44 pada hari ini.

Pasangan yang sudah berkahwin kelihatan gembira apabila akhirnya dapat menghadiri Majlis Konvokesyen yang telah ditangguh selama dua tahun akibat wabak pandemik COVID-19.

Mohamed Farhan Hafsyam yang pernah mewakili Malaysia ke kejohanan Sukan SEA 2017 serta meraih pingat perak dalam kejohanan Sukan Universiti ASEAN 2018 berkata bahawa pada mulanya keluarga tidak memberi dorongan yang kuat untuk meneruskan kerjaya dalam sukan dan lebih fokus kepada pelajaran tetapi kejayaan beliau telah mengubah persepsi keluarga secara seluruhnya.

Ianya berbeza  untuk Syazana Aqilah yang pernah mewakili UPM ke kejohanan MASUM serta SUKMA di mana keluarganya amat menyokong dalam pengajian serta kerjaya sukannya.

Meskipun bidang pengajian yang diceburi oleh pasangan ini tidak mempunyai perkaitan dengan bidang sukan, mereka berasa ianya adalah satu kelebihan dan kewajipan untuk menuntut ilmu yang baharu. - UPM

SXETQA~