| Universiti Putra Malaysia

Pengguna perpustakaan maya UPM meningkat semasa PKP

SERDANG, 7 April - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan pengguna atas talian dalam  perkhidmatan secara maya bagi meneruskan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 lalu.

 

Ketua Pustakawan PSAS, Muzaffar Shah Kassim berkata sepanjang tempoh PKP, perpustakaan UPM memastikan semua perkhidmatan dalam talian berfungsi dengan baik dan dapat diakses oleh semua warga UPM tanpa sebarang gangguan.

“Terdapat peningkatan sebanyak 11.21% jumlah pengunjung maya dan akses kepada beberapa portal maklumat yang dibangunkan oleh PSAS. Contohnya seramai 104,252 pengunjung pada Mac 2020 berbanding 93,743 pada bulan sebelumnya.

“Jumlah hits meningkat  50.93% iaitu daripada 1,161,897 pada Februari kepada 1,753,617 hits pada Mac,” katanya.

Muzaffar berkata walaupun semua perkhidmatan perpustakaan secara fizikal ditutup semasa PKP, pelajar dan pensyarah masih boleh mengakses pelbagai maklumat ilmiah yang dilanggan oleh UPM secara atas talian melalui Portal EZAccess di alamat URL: http://ezaccess.upm.edu.my/ dengan menggunakan akaun UPM-ID masing-masing.

Jumlah pengunjung maya yang mengakses Portal EZAccess untuk mendapatkan artikel, jurnal dan kandungan bahan yang dilanggan oleh UPM turut menunjukkan peningkatan 22.05% pada Mac iaitu pertambahan 26,039 pengunjung berbanding 21,335 pada Februari.

“Jumlah hits juga menunjukkan peningkatan yang sangat ketara 63.83% pada Mac (1,499,820 hits) berbanding Februari (915,461 hits), katanya.

Beliau berkata PSAS telah membangunkan portal pencarian maklumat yang dinamakan “Discovery@Lib” bagi memudahkan pelajar dan pensyarah mencari maklumat dan bahan perpustakaan dalam pelbagai bidang melalui satu portal pen carian sahaja di URL - http://discoverylib.upm.edu.my.

“PSAS juga mempunyai pelbagai sumber maklumat elektronik yang boleh diakses melalui Laman Web PSAS seperti pangkalan data, portal UPMIR, portal UPM eTesis,portal sumber maklumat pertanian (AGRIS dan MyAGRIC) dan jurnal akses terbuka. Pautan maklumat dan pameran maya mengenai wabak COVID-19 juga boleh diperolehi dalam laman web ini,” katanya.

Menurut Muzaffar, program Literasi Maklumat yang sering diadakan oleh pustakawan-pustakawan PSAS merupakan antara faktor utama yang membantu pelajar dan pensyarah UPM “celik maklumat” dan mempunyai kemahiran mengakses pelbagai sumber maklumat ilmiah secara atas talian.

 

“Dalam keadaan sekarang, pelajar dan pensyarah juga masih boleh mendapatkan bantuan pustakawan melalui Perkhidmatan Rujukan secara “Live Chat” menerusi Aplikasi Telefon Pintar iaitu “PSAS UPM Mobile Application”, WhatsApp serta panggilan telefon yang beroperasi pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

 

Melalui aplikasi ini, pelajar dan pensyarah boleh berinteraksi secara langsung dengan Pustakawan mengenai sebarang masalah berkaitan pencarian maklumat.

 

“Sepanjang tempoh PKP ini, pengguna perpustakaan juga tidak perlu risau mengenai denda lewat memulangkan buku perpustakaan. Pengguna hanya perlu memulangkannya apabila perpustakaan dibuka kembali,” katanya.

 

“Apa yang penting, semua pengguna disarankan untuk kekal berada di rumah…stay at home dan mengakses maklumat secara maya,” katanya. - UPM

 

SXETHAs~