| Universiti Putra Malaysia

“Pengawalan harga ayam bukan solusi jangka panjang,” - Pakar UPM

Oleh:   Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris

SERDANG, 25 Mac- Kerajaan hanya boleh mengawal harga ayam dengan memberikan subsidi dalam jangka masa pendek sahaja, kerana ianya akan memberi kesan negatif kepada pengeluar ayam.

Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, pengawalan harga ayam hanya boleh dilakukan dalam jangka masa pendek kerana ia tidak akan menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.

“Kawalan harga ini akan memberi kesan negatif kepada pengeluar. Pengeluar dan penternak mempunyai kos pengeluaran dan marginnya.

“Jika kawalan harga terlalu rendah, maka ianya memberi kesan kepada industri. Alternatifnya, jika harga tidak meningkat begitu tinggi, kerajaan sepatunya memberi subsidi kepada golongan sasaran sahaja iaitu miskin tegar bukannya menstabilkan harga ayam kepada semua golongan,” katanya.

Turut hadir, pakar UPM, Prof Dato’ Dr. Zulkifli Idrus pada Sidang Akhbar “Lima Strategi Tangani Kenaikan Harga Ayam” di sini.

Tambah beliau, subsidi yang diberikan kepada penternak bagi ayam hidup RM0.60 sekilogram dan RM0.05 sen bagi sebiji telur ayam tidak dapat membantu golongan miskin kerana semua orang layak membeli ayam dengan kawalan harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sepatutnya subsidi itu difokuskan hanya kepada miskin tegar dengan menyediakan baucar kepada golongan miskin membeli ayam.

“Dengan cara ini, baucer subsidi ini dapat membantu golongan miskin tegar sahaja serta boleh mengawal harga ayam oleh pihak industri dengan tidak menjejaskan sumber pendapatan pengeluar dan penternak ayam,” katanya. - UPM

SXEQPAL~