| Universiti Putra Malaysia

Pendekatan tiga-serangkai cegah keganasan ekstrem

Oleh: Azman Zakaria

 

KUALA LUMPUR, 24 Jan - Pendekatan tiga-serangkai untuk membina kapasiti atau keupayaan organisasi masyarakat sivil dan komuniti akar umbi wajar dilaksanakan dalam inisiatif pencegahan keganasan ekstrem terhadap kumpulan yang menjadi sasaran seperti belia.

Kajian oleh dua pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan institut bebas IMAN Research merumuskan bahawa pertama, ia harus dimulakan dengan inisiatif pencegahan daripada perspektif sosial dan dasar-dasar awam.

Dr. Siti Irma Fadhilah Ismail dan Dr. Tan Kit-Aun dari Bahagian Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, serta IMAN Research berkata, perkara penting ialah agar pertimbangan keselamatan dan matlamat pembangunan bergerak seiring dalam menghapuskan punca keganasan ekstrem seperti kemiskinan, penghijrahan besar-besaran kerana faktor ekonomi, serta diskriminasi kaum dan agama.

Kajian bertajuk “Kefahaman Normatif Terhadap Keganasan Ekstrem: Sebuah Kajian Mengenai Belia Malaysia” itu dijalankan di Selangor dan Sabah.

Hasil kajian itu dibentangkan pada siding media di sini, hari ini. Penemuan kajian itu menunjukkan aspek pencegahan serta pemulihan adalah perlu, dan pentingnya strategi yang lebih berkesan dan yang khusus untuk memerangi keganasan ekstrem di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar di Malaysia.

Kajian dilaksanakan daripada sudut “kesihatan awam” untuk mengamati kefahaman normatif di kalangan belia mengenai keganasan ekstrem serta kaitan lain daripada kefahaman normatif mengenai keganasan ekstrem daripada sudut demografi, psiko-sosial, dan ciri-ciri kesihatan belia.

Pendekatan kedua yang dicadangkan mereka ialah perhatian yang sama rata perlu diberikan terhadap aspek pemulihan.

Menurut mereka, pada masa ini, program pemulihan dan “deradicalization” yang dilaksanakan pihak berkuasa hanya bertumpu kepada membetulkan niat ritual agama, iaitu berdasarkan kepada tanggapan umum mengenai keganasan ekstrem yang berpunca daripada ideologi agama seperti Wahabi /Salafi.

Bagaimanapun, kata mereka, kajian itu mendapati terdapat kombinasi beberapa faktor seperti demografi, psiko-sosial dan kesihatan yang membuatkan seseorang cenderung ke arah keganasan ekstrem.

“Untuk itu, inisiatif pemulihan yang wujud di bawah undang-undang seperti Akta Pencegahan Terrorisme 2015 (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dikaji semula secara mendalam dengan memberi tumpuan kepada menangani ‘sifat-sifat buruk’ yang terdapat di dalam kumpulan individu yang cenderung menyokong keganasan ekstrem,” kata mereka.

Mereka berkata, pendekatan ketiga yang merupakan tahap yang lebih menyeluruh dan mustahak adalah perlunya pelaksanaan Rancangan Tindakan Nasional (Kebangsaan) yang merangkumi Malaysia dan semua negara ASEAN.

Menurut mereka, usaha ke arah membangunkan Rancangan Tindakan Nasional yang komprehensif telah agak terlalu lama ditinggalkan, terutamanya kerana perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Mereka berkata, Rancangan Tindakan Nasional adalah instrumen dasar yang amat penting dalam mencegah dan melindungi semua daripada keganasan ekstrem.

“Untuk itu, masanya adalah sekarang untuk inisiatif ini dipulihkan kepada status keutamaan di bawah agenda kerajaan baharu,” kata mereka. – UPM

WXDdSAO~