| Universiti Putra Malaysia

PELAKON BUAT LIMA KERJA SATU MASA MAMPU RAIH MBA

Oleh: Nurul Amiraa Mohamed Rafic

SERDANG, 30 Okt – Pelakon, pengacara dan penyanyi Nazeera Sardi yang terkenal dalam drama ‘Hanya Padamu’ dan ‘Pembancuh Kopi Mr. Vampire’ akhirnya berjaya meraih Master Pentadbiran Perniagaan (MBA) pengkhususan pemasaran dari Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia hari ini.

 

“Saya berasa gembira akhirnya berjaya meraih Master MBA ini dalam tempoh tiga tahun walaupun membuat lima kerja pada satu masa sebagai pelajar, pelakon, penyanyi, pengacara serta usahawan fesyen dan kecantikan jenama sendiri.

 

“Pernah suatu ketika Zeera menangis kerana tertekan akibat terlalu sibuk menguruskan lima kerja ini. Bayangkan Zeera pernah melalui saat di mana hanya ada masa empat jam untuk mengulangkaji pelajaran sebelum peperiksaan,” kata beliau atau nama sebenarnya Siti Nazirah Sardi.

 

Beliau tidak pernah memberitahu kepada umum bahawa dia menyambung pengajian ke peringkat master kerana berpegang kepada prinsip ‘work hard in silence, let your success be your noise’.

 

Beliau juga popular dengan lagu ‘Tetap Ada Cinta’ yang baharu dipasarkan awal tahun ini selain menjadi pengacara program ‘Variasi Sunquick’ di saluran TV3 dan pernah membintangi filem ‘Warna Cinta Impian’ bersama Awie dan Erra Fazira dua tahun lalu.

 

“Antara sebab saya menyambung pengajian master pemasaran ini ialah kerana ijazah pertama saya dalam bidang Bioteknologi Industri boleh membantu saya memasarkan produk kecantikan jenama sendiri kelak,” katanya yang telah berkecimpung dalam perniagaan sejak tiga tahun lepas. – UPM

WXDdUAd~