| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM sumbang bakti ceriakan persekitaran di Zoo Negara

SERDANG, 21 Mei - Seramai 39 pelajar Kolej Tujuh Belas (K17), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyumbang bakti menjadi sukarelawan menceriakan persekitaran Zoo Negara baru-baru ini.

Program Zoolunteering anjuran Sekretariat Keceriaan dan Kelestarian Hijau, Majlis Perwakilan K17 sesi 2021/2022 itu bertujuan untuk menambah ilmu mengenai pengendalian haiwan yang betul dari segi keselamatan, kesihatan, keselesaan dan kesejahteraan haiwan.

 Pengetua K17, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata program ini bukan sahaja memberi pengalaman yang baharu kepada pelajar, malah dapat memupuk nilai kemanusiaan dan tanggungjawab dalam diri terhadap hidupan liar dan alam sekitar.

“Penghargaan kepada sukarelawan atas segala usaha yang dilakukan untuk menjayakan program.

“Antara aktiviti kesukarelawan yang telah ditugaskan adalah mengecat pagar, menyapu kawasan kandang haiwan dan membersihkan kawasan akuarium,” katanya yang juga hadir pada program berkenaan.

Beliau berharap semoga nilai cinta akan haiwan dan ilmu yang disampaikan melalui program tersebut dapat diamalkan dan diterapkan oleh para sukarelawan untuk kegunaan di masa hadapan. – UPM

WXEbFA~