| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM semarak persembahan lisan tradisional

Oleh: Adliana Damia Hamizan & Nik Zaini Peei

SERDANG, 15 Jan – Pemuliharaan dan pembudayaan seni warisan tidak ketara (intangible heritage) terus dijulang melalui penganjuran program Semarak Lisan Tradisional dengan mensasarkan penglibatan orang awam, pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Program Kursus Persembahan Lisan Tradisional (QKB2109) anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, SMK Puteri Wangsa, Johor dan SMK Kudat II, Sabah.

Program bertemakan “Menjulang Budaya Menjunjung Warisan” itu bertujuan mengangkat kepelbagaian cabang persembahan lisan tradisional menerusi amalan pemindahan ilmu kepada kumpulan sasar.

Pengarah program, Adliana Damia Hamizan berkata UPM mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti Webinar Semarak Lisan melalui perkongsian daripada pengamal seni dengan mengadakan aktiviti Pertandingan Persembahan Lisan iaitu Pantun dan Deklamasi Sajak secara maya.

“Penganjuran program seumpama ini dapat dijadikan sebagai inisiatif dalam memelihara dan menjulang seni warisan khususnya kepada generasi muda di samping menggalakkan budaya pemindahan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pada masa kini antara cabarannya adalah tokoh-tokoh hidup pengamal budaya lisan tradisional itu semakin berkurangan kerana kurangnya pelapis baharu serta peminat dalam memartabatkan budaya tersebut.

Aktiviti webinar Semarak Lisan dijayakan dengan menampilkan barisan ahli panel daripada pelbagai latar. Topik kupasan Nurul Izzati Adlina Abdullah dari SMK Kudat II, Sabah bertajuk Sastera Lisan Kaum Rungus, Kudat.

Ahli panel kedua, Mohd Husaini Mohamad Rofi dari Jabatan Perdana Menteri berkongsi mengenai Budaya Tinggi dalam Seni Berpantun.

Wakil SMK Puteri Wangsa, Johor, Siti Nurulain Taham menunjukkan cara mendeklamasi sajak dan berbicara mengenai Sajak Karya Puisi Moden.

Ahli Panel keempat dari UiTM Kampus Mukah, Ikhwan Naguib Jusoh berbicara mengenai topik Kebebasan Bersuara dalam Berkarya. - UPM

SXETMA~