| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM berkolaborasi dengan JPA martabatkan bahasa Melayu

Oleh: Shamsudin Ismail

DESARU, 13 Julai – Pelajar Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP),  Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Ismail yang terlibat dalam Teater Perkhidmatan Awam 2018 menerima Anugerah Putera Cendana (kategori lelaki) pada Majlis Anugerah Sang Wara Seni Lajang Peraja, di sini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato' Haji Suhaime Mahbar.

Pemilihan adalah berdasarkan penilaian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pengarah Antara Seni Perkhidmatan Awam (ASPA) dan tenaga pengajar. Shamsudin adalah antara tiga orang pelajar yang terlibat secara langsung dalam lakonan teater itu.

Pembabitan pelajar bermula daripada kolaborasi antara Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, FPP, Prof. Madya Dr. Roziah Mohd Rasdi dengan JPA. Ia bertujuan supaya pelajar mendapat pengalaman bekerja di dalam organisasi awam dan berpeluang mempamer kualiti profesional dalam pembangunan kerjaya.

Seramai 121 orang pelajar Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia), FPP, UPM, bekerjasama membantu JPA dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan melalui pementasan teater.

Kolaborasi dengan JPA berkaitan Teater Perkhidmatan Awam itu telah berlangsung selama tiga tahun berturut-turut.

Dr. Roziah berkata program kerjasama universiti dan JPA itu amat berfaedah dalam usaha memberi pendedahan mengenai budaya kerja penjawat awam, membina rangkaian kerja yang baik dan meningkatkan kreativiti pelajar yang tidak terkongkong kepada pembelajaran dalam kelas sahaja.

Teater Perkhidmatan Awam itu diasaskan oleh Felo Penyelidik Kanan, Insitut Tadbiran Awam Negara (INTAN), JPA, Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb, yang juga pengarah gerakan kebudayaan dan kesenian Perkhidmatan Awam (ASPA) serta penulis skrip teater Perkhidmatan Awam itu.

Teater itu membariskan penjawat awam dari JPA; Majlis Teater Selangor; Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik; Kementerian Wanita, Kementerian Kesihatan Malaysia; Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pejabat Ketua Pendaftar Makhamah Persekutuan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Jabatan Perdana Menteri; Unit  Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia; Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Johor); Majlis Perbandaran Seberang Perai; Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS); Perak FM; Jabatan Perhutanan; Jabatan Kerja Raya; Kementerian Pendidikan; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; Jabatan Akauntan Negara; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Kewangan; dan Jabatan Perangkaan. – UPM

 

 

SXDcTA~