| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM anjur program mobiliti ke tiga daerah di Indonesia

Oleh: Ong Xin Yi

INDONESIA, 2 Dis – 15 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program Mobiliti MEHSSA-UPM Indonesia 2022 ke Surabaya, Madiun dan Yogyakarta Indonesia baru-baru ini.

Pengarah program, Ong Xin Yi berkata, program itu membawa matlamat untuk mendatangkan manfaat kepada pelajar UPM yang berpeluang menyemai bakti melalui khidmat komuniti di luar negara selain menambah pengetahuan dalam pembelajaran sepanjang hayat dan membina jalinan bersama individu daripada Indonesia.

Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), FPSK, Profesor Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata beliau amat menggalakkan pelajar UPM untuk mengambil peluang berkecimpung dalam program mobiliti yang mampu membentuk graduan yang berkualiti dan berbakti kepada masyarakat.

Penasihat program, Dr. Shaharuddin Mohd Sham berkata beliau memandang tinggi komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu yang sangat signifikan dengan keperluan pelajar FPSK bersama kolaborasi rakan strategik antarabangsa FPSK, UPM.

Timbalan Datuk Bandar Kota Madiun, Ibu Inda Raya Ayu Miko Saputri SE. MIB. berharap pelajar UPM memperoleh pengalaman yang bermanfaat untuk terus menyokong perusahaan mikro kecil dan menengah yang kini makin berkembang di Madiun.

Selain itu, program itu mendapat kerjasama oleh Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Airlangga (UNAIR), Dinas Kesehatan Provinsi Jawa Timur, Surabaya; Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan (STIKES) Bhakti Husada Mulia, Madiun, Perusahaan Air Mineral ASMI, Madiun; Kampung Susu Lawu Singolangu, Magetan; Batik Tulis “Murni”, Madiun; Bluder Cokro, Madiun; Sekolah Karangrejo Wungu (Sekolah Kanak-kanak Istimewa), Madiun; Universitas Negeri Surakarta, Solo; Akademi Perawatan Pemerintah Kabupaten Ngawi (AKPER PEMKAB Ngawi) dan Pemerintah Kota Madiun.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Pusat Antarabangsa (i-PUTRA), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM dan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi serta Tupperware Brands Malaysia.

Mobiliti MEHSSA-UPM Indonesia 2022 yang dijalankan selama seminggu itu telah merangkumi beberapa aktiviti utama iaitu lawatan ke kampus universiti dan Makmal Institut Penyakit Tropikal UNAIR, lawatan dan kuliah bersama Dinas Kesehatan Provinsi Jawa Timur bagi pencegahan dan pengendalian penyakit serta kesihatan masyarakat.

Para pelajar UPM dan UNAIR turut melibatkan diri dalam forum mahasiswa yang merangkumi sesi pertukaran pendapat dalam penganjuran program dan organisasi persatuan.

Sumbangan kutipan dana kecemasan mangsa gempa bumi di Jawa Barat, Indonesia daripada warga Malaysia khasnya FPSK telah disumbangkan kepada pihak Palang Merah Indonesia. – UPM

SXEUOA~