Pelajar Sains UPM Juara Cabaran Berniaga Syarikat Gergasi Procter & Gamble | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar sains UPM juara cabaran berniaga syarikat gergasi Procter & Gamble

Pelajar sains UPM juara cabaran berniaga syarikat gergasi Procter & Gamble

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Noor Azreen Awang    


Nor Aslinda binti Abdul Rahman


SERDANG,  9 Sept (UPM) – Walaupun Nor Aslinda binti Abdul Rahman mengikuti pengajian Petrokimia namun beliau terbukti juga cekap dalam selok belok perniagaan apabila muncul juara dalam satu pertandingan anjuran Procter & Gamble, sebuah syarikat gergasi multi-nasional Amerika yang mengeluarkan sejumlah besar barangan pengguna.
 
Aslinda, 21, berasal dari Batu Pahat dijadual akan memulakan pengajian tahun ketiga untuk ijazah Bacelor dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia semester akan datang

Persoalannya bagaimana seorang pelajar sains boleh melibatkan diri dalam satu pertandingan bidang perniagaan dianjurkan oleh syarikat pembuat barangan seperti kosmetik, sabun pencuci, ubat-ubatan dan lampin bayi?

Segalanya bermula apabila beliau mengetahui mengenai pertandingan itu daripada Prof Madya Dr Zulhamri Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM (CEM) yang juga mengajar satu kursus wajib iaitu asas keusahawanan kepada semua mahasiswa UPM.

Beliau lantas mendaftar menyertai pertandingan berkenaan, ASEAN Business Challenge (ABC) 2013 dianjurkan Mac lalu oleh Procter and Gamble (dikenali ramai sebagai P & G) dengan kerjasama CEM.

Aslinda bersama-sama lebih 100 pelajar lain UPM menghadiri satu ceramah oleh P & G pada sebelah pagi 18 Mac lalu di kampus UPM sebelum menduduki satu ujian penulisan dan online untuk memilih calon menyertai pertandingan cabaran ABC.

Pelajar yang disenarai pendek ditemuduga di ibu pejabat P&G di sini dan daripada  kalangan itu, Aslinda muncul calon UPM terbaik untuk pusingan akhir di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

Bersama-sama calon yang berjaya dari universiti lain, Aslinda mendapati beliau berada dalam satu daripada tiga kumpulan lima pelajar untuk pertandingan ABC dari 10 hingga 13 April 2013.

Rakan sepasukan beliau adalah daripada Universiti Monash, Universiti Nottingham, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)  dan Brickfields Asia College, manakala yang lain adalah dari universiti seperti Universiti Malaya.



Selain sesi taklimat empat hari tiga malam dan ujian oleh warga kerja P&G, peserta-peserta diberikan RM1,000 untuk membeli Downy, pelembut pakaian dikeluarkan oleh P&G, untuk dijual seperti seorang peniaga. Mereka boleh menggunakan RM100 daripada wang modal itu untuk membeli peralatan promosi dan sebagainya.

Aslinda bersama-sama rakan sepasukan memutuskan untuk memasukkan pelembut Downy dalam pek-pek kecil dan sederhana lalu menjualnya kepada pelanggan di sebuah pasar raya di Selayang.

“Kami berjaya menjual semua produk kami dalam masa empat jam saja di Mydin di Selayang,” kata Aslinda dengan wajah lega.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Kajang dan Maktab Matrikulasi Melaka itu berkata kemuncak pertandingan itu bermula apabila kumpulannya dibawa ke Singapura untuk menyertai The Singapore Amazing Race.

Bersama-sama kumpulan handalan dari Filipina, Indonesia, Vietnam dan  Malaysia, antara lain mereka ditugaskan memberi idea kepada P & G mengenai cara mendapatkan bakat baru daripada Generasi Y.

Aslinda dengan rakan sepasukannya muncul juara dalam The Singapore Amazing Race setelah berjaya melaksanakan enam tugas dan meneroka Singapura dengan bajet hanya S$75. Apa yang amat menggembirakan pelajar dari Batu Pahat ini adalah inilah kali pertama pasukan Malaysia muncul juara iaitu dalam masa lima tahun.



Ditanya bagaimana beliau menangani cabaran berniaga sedangkan beliau pelajar bidang sains, beliau dengan ringkas berkata “Yang penting kita perlu berusaha memikat pelanggan.”

Anak sulung daripada lima beradik, Aslinda menarik perhatian mungkin beliau memang ada darah berniaga kerana bapanya seorang pembuat perabot dan ibunya menguruskan bisnes katering.



Apakah agaknya tersirat di sebalik pertandingan dan ujian P & G itu hingga bakat terpendam Aslinda dalam bidang perniagaan berjaya dicungkil.

Jelas kini Aslinda yang agak lasak apabila gemar menunggang motosikal untuk ke kuliah, cekap pula di makmal dan juga mungkin dalam dunia korporat adalah ibarat sebutir mutiara yang menunggu untuk digilap lalu menyinar.   

Dr Zulhamri memberitahu seorang daripada pelajar UPM yang pernah ke pusingan akhir pertandingan yang sama tahun lepas, kini bekerja dengan P & G.

Kolaborasi dengan P & G, katanya, adalah sebahagian daripada program pautan dengan industri di mana pihak UPM bekerjasama dengan syarikat untuk mengetahui keperluan mereka lantas membolehkan kursus-kursus digubal untuk memenuhi keperluan majikan.

“Matlamat CEM adalah agar 10 peratus daripada pelajar kita memegang jawatan pengurusan tinggi yang bertanggungjawab membuat keputusan perbadanan perbadanan besar,” tegas beliau. – UPM

- kgo/agn


Prof Madya Dr Zulhamri Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | sitihadijah

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566430825