| Universiti Putra Malaysia

Pelajar PhD UPM terima anugerah Belia ASEAN-India 2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

INDIA, 22 Feb - Pelajar Tahun Dua, Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM), Mogesh Sababathy, 25, menerima Anugerah Belia ASEAN-India di Sidang Kemuncak Belia ASEAN-India ke-4, baru-baru ini.

Beliau merupakan satu-satunya perwakilan daripada enam orang wakil Malaysia yang menyertai persidangan ini menerima anugerah dalam kalangan penerima ASEAN berdasarkan pencapaiannya, peranan kepimpinan, serta sumbangannya melalui penyertaan aktifnya sepanjang sidang kemuncak yang berlangsung pada 12 Februari hingga 16 Februari lalu.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Gabenor Telangana, Dr. Tamilisai Soundararajan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Pendidikan India, Dr. Rajkumar Ranjan Singh yang dianjurkan oleh Yayasan India dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri India dan Sekretariat ASEAN di Hyderabad, Telangana, India.

Mogesh yang meluahkan rasa gembira dan syukurnya berkata pengiktirafan ini menjadi langkah untuk beliau terus kehadapan bagi bergiat aktif sebagai aktivis alam sekitar.

“Saya juga akan sentiasa menyokong golongan muda amnya bergiat aktif dalam kelestarian alam sekitar serta menonjolkan kedudukan belia sebagai entiti penting yang memberi sumbangan bermakna dalam tadbir urus dan membuat keputusan.

“Ketika pembentangan sidang kemuncak ini, saya juga berkesempatan berkongsi bagaimana Malaysia meletakkan keselamatan makanan sebagai salah satu keutamaan, terutamanya memberi tumpuan kepada kecukupan bekalan makanan masa hadapan,” katanya. -UPM

WXDdRAc~