| Universiti Putra Malaysia

Pelajar BSMM UPM anjur aktiviti khidmat masyarakat

Oleh: Dinie Najihah Din
Foto oleh: Emanuel Lamada anak Paul Kibong

 

 

PORT DICKSON, 2 Dis - Pelajar Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Tautan Budi Bersama Komuniti Port Dickson 2018 bagi memupuk semangat serta memberi pendedahan kesukarelawan kepada pelajar.

Program di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson itu dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Tuan Rusli Abdullah.

Pengarah program, Dinie Najihah Din berkata program itu bertujuan mengasah serta mendedahkan pelajar berkaitan pengendalian program serta memupuk sikap kepemimpinan dalam pengendalian program.

“Program ini adalah medium untuk menambah baik kemahiran insaniah pelajar serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kelas untuk dikongsikan dengan masyarakat,” katanya.

 

Program Tautan Budi Bersama Komuniti Port Dickson 2018 merangkumi pelbagai aktiviti antaranya membersihkan sampah di kawasan kampung, menanam pokok dan pertandingan memancing untuk pelajar BSMM.

Pusat Kesihatan Universiti juga melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk penduduk Kampung Sawah Sunggala, manakala BSMM  memberi ceramah ‘first aid’ dan bantuan kecemasan. Ia mendapat sambutan baik penduduk kampung terutamanya pemeriksaan kesihatan percuma.

Ketua Pusat Kokurikulum UPM, Prof Madya Dr. Paramasivam dan Pengerusi BSMM Daerah UPM, Dr Fauziah Adnan kemudian menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Sawah Sunggala.- UPM

SXDdUAt~