| Universiti Putra Malaysia

Pelajar antarabangsa UPM rasai suasana Ramadan di Malaysia

SERDANG, 17 Mac - Seramai 70 pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara iaitu Korea Selatan, China, Jepun, Bangladesh, Jordan, Sudan, Kazakhstan, Thailand, German dan Perancis menyertai program A Day As A Malaysian: Buka Puasa Edition bagi memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa merasai suasana Ramadan di Malaysia baru-baru ini.

Program anjuran Buddies Association, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut disertai 15 pelajar tempatan UPM.

Pengarah program, Muhammad Ammar Mohd Salleh berkata program yang julung kali diadakan oleh Buddies Asssociation, UPM dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar antarabangsa supaya mereka tidak terasa terasing semasa mereka berada di negara ini.

“Ini secara langsung memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk merasai sendiri budaya dan cara masyarakat Malaysia menyambut bulan Ramadan,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah melawat Masjid Putra yang memberi pendedahan seni bina Islam di Malaysia yang dibantu oleh para sukarelawan di masjid berkenaan, membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Putrajaya dan berbuka puasa di dataran Istana Kehakiman Putrajaya.

Seorang pelajar China, Wang Yun Chong berkata beliau teruja mengikuti program ini kerana beliau dapat lebih memahami mengenai budaya di Malaysia.

“Saya gembira pada program ini saya telah dapat berkenalan dengan rakan baharu dan saya juga berterima kasih kepada penganjur program kerana memberi pengalaman baharu ini kepada saya,” katanya.

Pelajar antarabangsa UPM dari Perancis, Eva Vigilant berkata, beliau teruja dengan pelbagai makanan yang dijual di Bazar Ramadan.

“Saya tidak menyangka pelbagai juadah makanan yang dijual di Bazar Ramadan semuanya nampak sedap dan menyelerakan,” katanya semasa membeli makanan dan minuman di Bazar Ramadan Putrajaya.

Sementara itu, pelajar antarabangsa yang beragama Islam juga berpeluang untuk menunaikan Solat Terawih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berhampiran di kawasan berbuka. – UPM

SXEaGAi~