| Universiti Putra Malaysia

PEJABAT NAIB CANSELOR UPM LANCAR EKSA 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: NOOR AZREEN AWANG

SERDANG, 14 April - Entiti Pejabat Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), yang telah dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, YH. Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman  di Dewan Taklimat Serdang di sini hari ini.

Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata antara tujuan EKSA adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, meningkatkan imej korporat dan menyemarakkan aktiviti kreativiti serta inovasi.

"Intisari yang terangkum dalam EKSA ini juga adalah selaras dengan hasrat pihak Universiti untuk melaksanakan aktiviti atau program kelestarian hijau yang menyeluruh di seluruh kampus UPM, kampus hijau dan menara ilmu bagi menyokong Penarafan UI-Green Metric.

"Pelaksanaan Kualiti Persekitaran Tempat Kerja juga merupakan salah satu daripada kriteria penilaian bagi Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Pentadbiran UPM bermula tahun 2014 hingga kini," katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa pelaksanaan EKSA di PTJ UPM khususnya memerlukan komitmen yang jitu dengan melibatkan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap, pemantauan yang telus, penambahbaikan yang tersusun dan pengamalan budaya kerja terbaik yang berterusan.

Jelasnya lagi, semangat kebersamaan dan usaha secara kolektif setiap warga UPM adalah kunci utama untuk mencapai segala yang dirancangkan terutama dalam Pelan Strategik UPM.

Turut hadir Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, Prof. Dr. Amin Ismail, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman, Pengarah Akademi Sukan, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin , Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang dan Ketua Pentadbiran Pejabat Naib Canselor, Noorizai Mohamad Noor.- UPM.

SXEaEA~