| Universiti Putra Malaysia

Pasangan suami isteri terima PhD serentak

Oleh Azman Zakaria

Foto Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

 

SERDANG, 5 Nov- Pasangan suami isteri Ng Tzu Shan dan Looi Ley Juen hari ini melakar kenangan indah apabila masing-masing menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41.

Mereka mula saling mengenali ketika menuntut dalam kelas yang sama ketika sekolah menengah.

Tzu Shan menerima Ijazah Doktor Falsafah (Biologi Molekul), manakala isterinya Ley Juen menerima Ijazah Doktor Falsafah (Teknologi Kawalan Pencemaran Alam Sekitar).

Mereka berada dalam kelas yang sama ketika tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Chong Hwa, Jalan Gombak, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di UPM. Pasangan itu mendirikan rumah tangga 17 September lalu.

Tzu Shan berkata, meskipun mengikuti pengajian yang berbeza, namun sepanjang menuntut di UPM, mereka saling membantu, berbincang dan memberikan galakan.

“Kami rasa bertuah lebih-lebih lagi menerima PhD pada masa yang sama dan universiti yang sama,.

“Selepas menamatkan pengajian peringkat bacelor, kami mengambil keputusan untuk tidak memikirkan dahulu soal kerja sebaliknya terus menyambung pengajian ke peringkat PhD,” katanya yang kini bekerja di di sebuah syarikat di Kelana Jaya.

Ley Juen pula berkata, selepas menamatkan pengajian PhD baharulah mereka mendirikan rumah tangga kerana sebelum itu mahu fokus kepada pengajian yang membabitkan banyak kerja lapangan dan kajian di makmal.

“Kami amat berterima kasih kepada UPM, semua pensyarah dan staf,” katanya yang kini berkerja sebagai Pasca Doktoral (Felo Penyelidik) di UPM.   – UPM

 

SXEaEA4~