| Universiti Putra Malaysia

Pasangan suami isteri bersama-sama menjadi graduan PhD

Oleh: Nurul Qamarina
Pelajar Bachelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, FEM

SERDANG, 21 Mac – Cabaran sebagai pasangan yang berkeluarga dan bekerjaya tidak menghalang Dr. Mohd Taufik serta isterinya Dr. Nor Aziah bersama-sama menyambung PhD pada tahun 2014 dan berjaya graduate on time pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45 hari ini.

Pasangan ini mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka semasa melanjutkan PhD Bahasa Melayu di bawah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK).

Dr. Nor Aziah berkata beliau perlu berulang alik dari Ipoh ke Serdang untuk menyelesaikan tesis namun ini menjadi kenangan yang manis kerana mereka dapat mengharungi segala cabaran bersama-sama.

“Kerjaya kami sebagai pensyarah juga tidak dilupakan dan menjadikan UPM sebagai pilihan mereka untuk menyambung PhD kerana saya juga merupakan alumni UPM,” katanya

Suaminya Dr. Mohd Taufik berkata mereka saling membantu dan menghargai antara satu sama lain kerana perjalanan untuk menjadi graduan PhD amatlah sukar dan sabar menjadi kunci untuk meneruskan PhD mereka.

“Anak-anak memahami kesusahan kami walaupun terpaksa ditinggalkan sementara. Alhamdulillah kami mampu menunaikan ibadah haji dan umrah sambil bertungkus lumus menyiapkan tesis,” katanya

Selain itu, pasangan tersebut yang mempunyai empat orang cahaya mata turut menasihati bakal pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi perlu banyakkan berdoa, usaha dan harus mempunyai jiwa yang besar untuk menyambung pelajaran. - UPM

WXEXOAe~