Pandemik Bukan Penghalang Jalinan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pandemik bukan penghalang jalinan

Pandemik bukan penghalang jalinan

Oleh: Nurul Fatin Azlim

 

SERDANG, 24 Jan – Pemimpin pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Eksekutif Mahasiswa Universitas Indonesia (UI) menganjurkan progam e-mobiliti antarabangsa secara atas talian yang disertai 24 pemimpin pelajar UPM dan 20 pemimpin pelajar UI.

Program kolaborasi itu dianjurkan bersama oleh Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail UPM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains UPM, dan Kelab Mahasiswa Fizik UPM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM dan Badan Eksekutif Mahasiswa UI.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu  berkata program itu adalah teras pengukuhan jalinan Malaysia-Indonesia dan selaras teras dan strategi yang digariskan di bawah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni iaitu pengantarabangsaan.

“Saya menggalakkan pelajar dari UPM dan UI untuk saling mengetahui bidang yang ditawarkan di institusi masing-masing supaya dapat meneruskan misi mobiliti dan dapat memahaminya secara lebih mendalam selepas pandemik COVID-19 berakhir,” katanya.

Beliau berkata melalui program itu, pelajar UPM dan UI boleh memahami sejarah, latar belakang, adat dan rumpun budaya kedua-dua negara.

Penasihat program mobiliti UPM - UI, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata program itu yang menghubungkan pemimpin pelajar kedua-dua negara julung kalinya diadakan atas talian kerana lazimnya ia dijalankan secara fizikal.

“Program e-mobiliti ini menyediakan platform maya bagi pemimpin pelajar kedua-dua negara untuk bertukar idea, pengalaman dan pendapat dalam ilmu kepemimpinan. Juga diselitkan sesi persilangan budaya yang menemukan titik tengah antara dua universiti itu,” katanya.

Pengarah program bersama, Habibuzzikri Ajeman berkata program itu diubah kepada atas talian bagi disesuaikan dengan norma baharu ekoran pandemik dan berlangsung dengan jayanya melalui perkongsian kepemimpinan sepanjang sesi.

 

Rakannya, Zahin Nazrin Rosemadi berkata ini merupakan kali pertama beliau mempelajari tarian etnik Indonesia secara langsung dari rakan-rakan baharu Indonesia.

“Pengalaman berharga ini sudah pasti tidak akan saya lupakan. Saya berharap semua pelajar meneruskan semangat dan menginovasikan program supaya dapat menimba lebih banyak pengalaman ketika di universiti,” katanya.

Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Indonesia (BEM UI), Leon Alvinda Putra, berkata program itu adalah titik permulaan kepada jalinan hubungan antara dua institusi dan berharap ukhuwah antara dua institusi pendidikan itu akan berkekalan dan dapat bertemu secara fizikal pada masa akan datang.

 

Timbalan Rektor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar UI, Prof. Dr. rer. nat. Abdul Haris berkata beliau kagum dan menghargai usaha pelajar untuk bersama mengatasi cabaran dihadapi kerana pandemik COVID-19. 

“Ini merupakan usaha yang sangat baik. Diharapkan UPM dan UI dapat meneruskan hubungan dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi di Malaysia dan Indonesia,” katanya.  - UPM

 

Tarikh Input: 02/02/2021 | Kemaskini: 02/02/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJaSAi:18:12