| Universiti Putra Malaysia

Outreach Jom Sains! bantu murid sekolah luar bandar

Oleh: Aisyah Syahirah Sawal

 

PORT DICKSON - Putra Bakti Outreach Jom Sains di bawah Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program “Outreach Jom Sains!” bagi memupuk minat sains dalam kalangan murid sekolah luar bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana, di sini.

Program itu diketuai penasihat FaSSA, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen bersama-sama 33 orang ahli FaSSA menghasilkan modul baharu bagi membolehkan Outreach Jom Sains dibawa ke komuniti itu.

“Melalui pendekatan ini murid-murid di sekolah berpeluang mempelajari mata pelajaran sains dengan lebih baik dan dalam masa yang sama mereka dapat lari daripada suasana kelas yang agak membosankan,” katanya.

Katanya, penggunaan pendekatan hands-on dalam menerangkan sesuatu konsep sains mampu memudahkan lagi pemahaman murid terhadap subjek itu.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada guru-guru dan murid sekolah berkenaan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Muhammad Wahid berkata beliau sebagai alumni UPM berbangga kerana pelajar UPM sudi menerima jemputan pihak sekolah untuk menganjurkan program yang berimpak tinggi seperti itu.

“Sekolah kami berada di luar bandar dan penganjuran program seperti ini sangat sukar direalisasikan. Melalui program ini, murid sekolah dapat memanfaatkan ilmu baharu yang dikongsikan FaSSA,” katanya.

Melalui program itu, murid diberikan pendedahan terhadap konsep sains dengan cara yang lebih menyeronokkan, seperti konsep ketumpatan sesuatu bahan dapat diterangkan dengan lebih mudah melalui aktiviti menarik yang dilakukan bersama murid.

Pelajar sekolah, Fatin Umairah Ahmad Rizal berkata pendekatan seperti eksperimen dan permainan yang disediakan mampu membantu beliau serta rakan-rakan untuk menguasai sesuatu konsep sains dengan lebih mudah dan cepat.

“Kaedah pembelajaran seperti ini sangat menyeronokkan, ia mampu mengurangkan tekanan mempelajari mata pelajaran itu,” katanya.

Melalui FaSSA, pelajar bukan sahaja didedahkan mengenai kepemimpinan dan organisasi, tetapi juga diberi mengenai komuniti di luar kampus. Melalui program itu, mahasiswa mampu mendekati komuniti luar dengan lebih baik dan meningkatkan kemahiran insaniah.

Ketua Program Outreach Jom Sains!, Aini Nazihah Hasin yang juga pelajar Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM berkata program itu memberi peluang kepada beliau mendekati masyarakat luar bandar.

“Kami dapat membantu komuniti luar bandar yang kurang mendapat peluang untuk mempelajari sains dengan lebih mudah. Program ini juga melatih kami untuk berkomunikasi dengan baik,” katanya. - UPM

 

 

SXDdVAr~