| Universiti Putra Malaysia

Nur Athirah pelajar pertama UPM terima program SULUNG KPT

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

Jasin, 2 Okt - Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman telah menyampaikan surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) kepada pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Nur Athirah Azrul.

Penyerahan tersebut turut diberikan bersama Menteri Pengajian Tinggi (KPT), YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, hari ini di Selandar, Melaka.

YH Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan berkata program SULUNG yang dilaksanakan oleh KPT ini membantu pelajar B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga agar dapat meneruskan pengajian ke menara gading biarpun menghadapi kekangan kewangan.

"Penyerahan hari ini bukan sahaja memberi surat tawaran ke UPM kepada Nur Athirah, bahkan surat tawaran program SULUNG KPT yang merupakan salah seorang penerima program ini.

"Semoga beliau dapat menjadi pelajar yang terbaik di UPM dan menjadi ikon kepada pelajar-pelajar lain di seluruh negara kita," katanya ketika ditemui selepas penyerahan surat tawaran.

Dalam pada itu, Athirah turut menerima sumbangan wang pendahuluan pembelajaran, bakul makanan, komputer riba dan wang sara diri bulan Oktober.

Anak pertama daripada empat adik-beradik itu, meluahkan rasa syukur dan gembira di atas sumbangan yang telah diperolehnya.

"Saya harap saya dapat melakukan yang terbaik sepanjang saya berada di UPM dan membalas semula apa yang telah saya terima hari ini. Terima kasih UPM dan juga pihak KPT," katanya.

Seramai 10 orang pelajar UPM telah dipilih untuk program SULUNG ini dan kesemuanya akan mendaftar sebagai mahasiswa UPM bermula 5 Oktober (Rabu) ini.

Melalui Program SULUNG pelajar bukan sahaja dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama dan diberikan mentoring sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Nuruliman Ibrahim. – UPM

WXDdRAX~