| Universiti Putra Malaysia

Negara perlu usaha lestarikan penternakan lebah dan madu sebagai makanan lestari

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 20 Mei - Di negara Slovenia, penternakan lebah adalah sebahagian daripada budaya penduduk di sana, di mana seorang daripada setiap 200 orang penduduk bekerja sebagai penternak lebah atau penjaga sarang lebah.

“Jika lebah hidup dengan sihat di dalam bandar ini, maka itu adalah bukti bahawa bandar ini adalah bandar yang mempunyai persekitaran yang sihat”, kata Peter Kozmus yang merupakan ketua program penternakan lebah dalam Persatuan Penternak Lebah Slovenia (Slovenian Beekepers’ Association) yang terdiri daripada 8,000 orang ahli aktif.

Peter Kozmus sendiri telah mengetuai inisiatif ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menjadikan tarikh 20 Mei sebagai tarikh rasmi Hari Lebah Sedunia (World Bee Day). Kenyataan beliau itu sebenarnya telah dibuktikan dengan pelbagai kajian saintifik yang membuktikan bahawa lebah adalah petunjuk-bio yang sangat penting kerana spesies haiwan ini sangat sensitif terhadap pencemaran dan gangguan dalam tahap persekitaran yang sihat.

 

Keunikan sarang lebah

Sarang lebah sangat unik dan dikenali sebagai komb. Komb dibina oleh lebah melalui pengeluaran lilin dari bahagian gelanda lilin yang terdapat pada anggota badan lebah pekerja. Komb lebah merupakan satu penghasilan seni bina yang sungguh menakjubkan. Kesemua selnya dibuat dalam saiz yang sama dan ukuran yang tepat

Bagi menggunakan ruangan sepenuhnya, lebah memilih cara membina kombnya dari sel yang berbentuk heksagon (enam segi sama). Melalui bentuk tersebut maka terhasilnya pembelajaran bentuk segi poligon dengan enam sisi dan enam bucu. Sudut dalaman untuk heksagon biasa (di mana semua sisi dan semua sudut adalah sama) iaitu 120° dan heksagon mempunyai 720 darjah.

 

Kelestarian penternakan lebah

Namun begitu, menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Norhasnida Zawawi tahap kesedaran penduduk Malaysia tentang penternakan lebah yang lestari dalam menghasilkan madu lebah masih rendah. Masih banyak pokok di kawasan hutan yang ditebang dalam usaha mendapatkan sarang lebah untuk penternakan.

“Ini kerana kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang sangat kondusif secara semula jadi bagi penternakan lebah terutamanya lebah daripada spesies kelulut tidak harus disia-siakan.

“Secara keseluruhannya banyak manfaat dari segi peningkatan ekonomi rakyat dan negara melalui persekitaran yang bersih, peningkatan hasil tanaman dan penternakan serta taraf kesihatan rakyat yang lebih baik boleh diperolehi dengan perancangan serta pengurusan yang baik tanpa mengira kefahaman politik, bangsa atau perbezaan lain antara semua pihak yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, sekiranya dilakukan dengan betul, tidak mustahil Malaysia akan menerajui dunia dalam usaha ini dan menjadi ikutan dan panduan bagi negara lain kelak. Di samping itu, penggunaan racun yang keterlaluan dalam aktiviti pertanian secara umumnya juga masih berleluasa yang memberikan kesan terhadap pembiakan lebah dan penghasilan madu dalam industri lebah.

Pensyarah Kanan, Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Syari Jamian berkata dengan meningkatkan penternakan lebah, bilangan pokok yang ditanam semakin meningkat, hasil pertanian semakin bertambah dan kualiti udara juga menjadi semakin bersih.

“Potensi madu lebah terutamanya madu daripada spesies lebah kelulut (meliponine) adalah sangat besar di Malaysia yang berpotensi untuk menghasilkan dan memelihara lebah secara komersial kerana Negara ini mempunyai sumber makanan atau manisan yang mencukupi bagi lebah.

“Dunia mengetahui bahawa lebah merupakan agen penting untuk proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan. Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem lebah amat penting bagi mengimbangi alam sekitar. Tanpa lebah, tanaman tidak dapat menghasilkan buah-buahan yang kita nikmati pada masa kini,” katanya.

Oleh kerana itu, pada tahun 2019, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Malaysia telah melancarkan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030.

Kesimpulannya, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh semua pihak dalam melestarikan penternakan lebah dan menjadikan madu sebagai makanan yang lestari. - UPM

SXFVFAt~