| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM terima anugerah Mauritus

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto Noor Azreen Awang

 KUALA LUMPUR, 19 Mac - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mendapat pengiktirafan Mauritius denga Anugerah Sambutan Hari Kemerdekaan Mauritius ke - 51 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Republik Mauritius di sini.

Kedutaan Mauritius memberikan anugerah tersebut sebagai menghargai peranan UPM terhadap pelbagai program dan hubungan baik antara kedua pihak sejak 1996.

Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sin Chee Keong yang merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan Mauritius dan disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Issop Patel.

Seramai 200 tetamu terdiri daripada duta besar-duta besar, pegawai-pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan jemputan khas turut hadir.

Prof. Aini telah memainkan peranan penting membantu pelajar-pelajar Mauritius ketika beliau menjadi Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan kini sebagai Naib Canselor UPM.

Menurut penyelidik bahasa Tamil di Mauritius, Dr. Paramasivam Muthusamy, kerjasama antara UPM dan Mauritius bermula pada tahun 1996 dengan program anak angkat dan program pertukaran budaya melibatkan 35  pelajar UPM bersama keluarga berketurunan Mauriti selain menyertai seminar yang dianjurkan di University of Mauritius.

“Pada tahun 1999, UPM menganjurkan sebuah program melibatkan 20 belia  Mauritius bersama keluarga angkat di Malaysia selama seminggu diikuti program perniagaan dan pertukaran budaya pada tahun 2000 yang memfokuskan pengenalan perniagaan di Mauritius dan Malaysia.

“Pada tahun 2010, program pertukaran sosio-budaya disertai oleh 82 delegasi Malaysia termasuk 20 pelajar UPM dan seterusnya pelancaran buku ‘Mauritius Tamils ​​Languages-Culture-Society’ yang ditulis oleh saya,” kata Dr. Paramasivam yang juga pensyarah UPM.

Dr. Param menjalankan penyelidikan dan pengumpulan data di Mauritius dan di Malaysia selama 15 tahun. Pelancaran buku itu dirasmikan oleh bekas Menteri Pelajaran Mauritius dan diiktiraf oleh bekas Perdana Menteri Mauritius.

Pada tahun 2017, Dr. Paramasivam mendapat Anugerah Pengiktirafan oleh Perdana Menteri Mauritius kerana sumbangan beliau kepada Mauritius.

Sejak 1998, sebuah NGO dari Mauritius, Alif Society telah menandatangani memorandum persefahaman dengan UPM di mana UPM menawarkan pelajar Mauritius pengajian peringkat bacelor dan pasca siswazah dengan yuran tempatan.

Bermula 2016, keistimewaan khas yang diberikan kepada pelajar Mauritius diteruskan dengan penawaran diskaun sebanyak 50 peratus daripada yuran antarabangsa.

Pada masa ini, jumlah  pelajar Mauritius di UPM aialah 13 pra siswazah dan satu pasca siswazah. Seramai 18 pra siswazah dan tujuh pasca siswazah Mauritius telah bergraduan.

UPM juga menjalankan projek penyelidikan dengan penyelidik di Mauritius di Institut Penyelidikan Industri Gula Mauritius, University of Mauritus dan Majlis Penyelidikan Mauritius. - UPM

SXDdUA~