| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM suntik semangat penyelidik UPM di MAHA 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari & Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto: Mohamad Izrul Abdul Jabar 

SERDANG, 6 Ogos – Hari ketiga Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 menyaksikan reruai Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung untuk melihat pameran produk-produk inovasi daripada penyelidik UPM.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman meluahkan rasa gembira dan berpuas hati dengan kehadiran pengunjung dan berharap lebih ramai akan hadir.

Beliau yang menghadiri Majlis Perasmian MAHA 2022 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang berkata kunjungannya dan masyarakat luar di reruai UPM meningkatkan semangat penyelidik UPM.

“Setakat ini saya tengok keadaan di reruai pameran UPM sesak dan saya sangat berpuas hati. Kunjungan ini akan memberi semangat kepada penyelidik-penyelidik kita untuk terus menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti.

“Harapan saya pengunjung-pengunjung dapat hadir dan singgah ke booth UPM kerana banyak produk hasil daripada penyelidikan UPM yang menghasilkan produk berasaskan pertanian.

"Saya amat berterima kasih kepada semua petugas UPM yang bertungkus-lumus menjaga pameran UPM," katanya.

Beliau juga berkesempatan beramah mesra bersama petugas reruai UPM dan pengunjung yang hadir melihat produk inovasi UPM.

UPM turut serta dalam penganjuran MAHA 2022 dengan menampilkan 14 produk inovasi yang dipamerkan dalam tiga kategori iaitu ternakan, tanaman dan teknologi makanan.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pameran UPM dan bertemu dengan pakar-pakar kami di Dewan A, reruai A14.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Madya Dr. Nur Azura Adam.- UPM.

WXDcSAh~