| Universiti Putra Malaysia

Motivasi dibuat untuk orang lain, jadi azimat diri sendiri capai PhD

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif & Visibiliti Korporat


SERDANG, 21 Mac: Motivasi yang sering diberikannya kepada guru-guru supaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (Ph.D), secara tanpa disedari telah menjadi ‘azimat’ untuk Datuk Dr. Kamarlin Ombi sendiri mencapai cita-cita itu, dan hari ini mengecapi detik manis berjaya menggenggam ijazah PhD itu walaupun pada usia 62 tahun.

Datuk Dr. Kamarlin, bekas guru di Beauford, Sabah dan bekas Pengawai Pendidikan Daerah Beaufort, serta bekas Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang, menerima Ph.D  daripada Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Sesi 3, Majlis Konvokesyen UPM ke-45, di sini.

Datuk Dr. Kamarlin berkata, ketika sebagai guru, beliau sering menyarankan agar guru yang memiliki Post-Degree supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master) dan seterusnya Ph.D.

“Motivasi yang saya berikan itu pada hakikatnya juga mencabar diri sendiri. Saya perlu buktikan yang saya juga mampu memperoleh Ph.D. Bila kita suruh orang lain buat, kita kena pun kena buat juga,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lumadan selama dua penggal bermula 2008, bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, dan kini Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata, cabaran utama dalam pengajian Ph.D yang dilaluinya ialah pembahagian masa yang mesti dilakukannya dengan baik kerana sebahagian masanya juga diperuntukkan untuk politik.

“Saya perlu adakan masa untuk pelajaran, untuk politik, untuk keluarga dan untuk diri sendiri. Komitmen dan semangat mesti sentiasa kuat, terutama untuk belajar pada usia yang telah melepasi 60 tahun,” katanya yang ditemani isteri Datin Saridah Abdullah dan semua enam anak mereka ke majlis konvokesyen itu.

Sebagai orang politik dan berjiwa pendidik, katanya, ijazah PhD yang dimilikinya itu akan memberikannya lebih keyakinan dalam menggalakkan lebih ramai guru untuk melanjutkan pengajian masing-masing ke peringkat tinggi.

“Ilmu sangat penting, lebih-lebih lagi untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Mengenai adanya pihak sebelum ini yang mempertikaikan bilangan graduan PhD lepasan UPM dengan mendakwa bilangan itu terlalu ramai, Dato’ Dr Kamarlin, berkata, pihak yang mempertikaikan itu sebenarnya tidak faham bahawa UPM adalah Universiti Penyelidikan, tidak seperti kebanyakan universiti lain.

“Jadi, ramai yang melanjutkan pengajian dan melakukan penyelidikan di UPM untuk mendapatkan PhD,” katanya. – UPM

SXEZTA1~