| Universiti Putra Malaysia

Mohammad Haziq Zikri dipilih YDP MPP UPM 2021/2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mozaid Idris

SERDANG, 8 April - Pelajar Bacelor Sains Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohammad Haziq Zikri Zainuri dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2021/2022.

Mohammad Haziq Zikri Zainuri menerima simbolik penyerahan watikah pelantikan daripada Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Dr. Roslan Sulaiman, pada Majlis Watikah Pelantikan MPP UPM Sesi 2021/2022 di Dewan Senat, Bangunan Canselori Putra, UPM, di sini.

Prof. Dato' Dr. Roslan Sulaiman dalam ucapannya berharap agar MPP yang telah diberi kepercayaan oleh seluruh warga pelajar UPM supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan penuh dedikasi.

“Gunakanlah peluang ini untuk belajar dengan sebaiknya tentang banyak perkara yang mungkin tidak dapat diperolehi di luar sana. Terima kasih juga saya ucapkan kepada barisan MPP 2020/2021 yang lepas.

“MPP ialah sebuah organisasi tertinggi yang menaungi semua pelajar UPM jalankanlah tugas sebagai pemimpin pelajar dengan penuh semangat,” katanya.

Seramai 44 orang pelajar telah dipilih oleh para mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjalankan tugas sebagai MPP pada kali ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Ketua Pentadbiran, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Abdullah Arshad dan Ketua Bahagian, Hal Ehwal Pelajar (BHEP), NurulIman Ibrahim. - UPM

SXDcXAb~