| Universiti Putra Malaysia

MOBRATECH dron terbang sendiri rakam video, cegah pecah rumah

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

 

SERDANG – Bukan sekadar lampu untuk menerangkan kawasan tempat letak kereta di hadapan rumah, MOBRATECH (Motion Vibration Sensing Technology) adalah juga inovasi dron yang mampu terbang sendiri bagi merakam gambar pergerakan mencurigakan di sekitar rumah bagi menghalang kegiatan pecah rumah.

Rakaman video oleh dron berautonomi ini akan dihantar terus kepada pemilik rumah, dan pada ketika yang sama pemilik rumah boleh menghantarnya kepada polis secara atas talian (on-line) untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas bagi mencegah kejadian pecah rumah.

Di sebalik fungsinya sebagai aksesori lampu rumah kerana reka bentuknya yang menarik, satu lagi fungsinya adalah sebagai kamera keselamatan yang terselindung di sebalik reka bentuknya kerana ia bersifat samaran (camourflage).

Justeru, mereka yang mahu memecah masuk rumah tidak akan menjangka lampu itu juga adalah dron berautonomi yang berupaya terbang dan merakam video.

Pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Rekabentuk dan Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Mastura Md. Ishak berkata, MOBRATECH direka sebagai set peranti sekuriti rumah berautonomi dengan aplikasi teknologi IOT (Internet on Things).

“Peranti ini adalah kombinasi antara konsep reka bentuk yang bersifat samaran dan teknologi ‘Smart Frequency Signal System’ yang menjadi aksesori rumah dengan sifat dwi-fungsi,” katanya. Ia direka dan dibangunkan bersama oleh pelajar FRSB, Nadhiratul Shahira Hassan.

Dr. Siti Mastura berkata, reka bentuknya berbeza daripada rekaan tipikal kamera keselamatan yang berada di pasaran.

MOBRATECH direka secara set yang terdiri daripada platform pod yang boleh disesuai-pasangkan dengan komponen lampu siling sedia ada di pasaran, dron berautonomi dan empat buah tag sensor.

Dron berautonomi ini dicadangkan dipasang pada lampu di siling porch kereta bahagian depan rumah, manakala setiap satu tag sensor pula dipasang pada komponen rumah seperti gril, daun pintu, daun tingkap di hadapan, belakang, kiri dan kanan bangunan.atau juga pintu roller shutter (bagi premis komersil).

Katanya, MOBRATECH akan mula berfungsi apabila tag sensor yang diletakkan pada poin-poin ini mengesan sebarang gegaran daripada perbuatan manusia.

Beliau berkata, teknologi ‘Smart Frequency Signal System’ pada tag sensor akan menghantar signal kepada dron berautonomi, dan apabila dron menerima signal itu, ia akan berlepas dari podnya menuju lokasi tag sensor penghantar signal tadi.

Katanya, dron berautonomi itu akan membuat rakaman penstriman video dengan kualiti HD menggunakan teknologi transmisi video WiFi dan seterusnya menyampaikan notifikasi kecemasan melalui aplikasi MOBRATECH kepada pemilik rumah. Pemilik rumah boleh menyampaikan notifikasi kecemasan itu kepada pollis secara atas talian.

Beliau berkata, aplikasi itu perlu dimuat turun di telefon bimbit serta didaftarkan dengan polis.

“Proses pelaporan secara langsung ini dibuat ketika kejadian pecah rumah berlaku pada peringkat paling awal. Dengan makluman itu, polis boleh segera bertindak,” katanya.

Katanya, MOBRATECH dilengkapi dengan sistem GPS (Grid Positioning System) untuk dron kembali ke pod, teknologi sense-up image intensifier untuk rakaman terbaik, pengesan gegaran dan pergerakan, penstabil gyroscope dan teknologi integrated live transmission yang mampu memberikan 24/7 pengawasan serta rakaman keselamatan. Ia sesuai untuk jenis premis yang anggaran saiznya berkeluasan gudang. 

Menurutnya, MOBRATECH mula dibangunkan pada 2017 dan direka supaya mampu membuat pengawasan dan rakaman setiap kali ia berfungsi pada satu-satu kejadian kerana baterinya direka untuk bertahan selama empat jam. MOBRATECH menggunakan konsep pengcajan magnetik pada peranti dron setiap kali ia kembali dan berada di platform podnya.

Ujian lapangan awal pada MOBRATECH telah dijalankan dan kini kerja menambah baik (upscaling) sedang dijalankan.

Katanya, reka bentuk MOBRATECH berbeza daripada kebanyakan kamera litar tertutup (CCTV) di pasaran kerana CCTV menyediakan peranti yang bersifat gaya eyeball yang biasanya dipasang pada siling atau dinding. CCTV jenis itu diletakkan tetap pada lokasi tertentu menyebabkan keberkesanannya membuat pengawasan adalah terhad.

“Inovasi MOBRATECH ini diharap dapat mendepani reka bentuk produk sekuriti rumah dengan menggunakan teknologi sistem IOT yang berautonomi dan efektif, seterusnya mampu memberi faedah kepada keselamatan penghuni serta isi rumah” katanya. - UPM

WXDdXAT~