Menteri Kesihatan Lancar Tiga Buku Mengenai COVID-19 Terbitan UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Menteri Kesihatan lancar tiga buku mengenai COVID-19 terbitan UPM

Menteri Kesihatan lancar tiga buku mengenai COVID-19 terbitan UPM

Oleh: Nor Adilla Alfadzil

 

SERDANG, 2 April – Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba melancarkan tiga buku mengenai COVID-19 terbitan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tiga buah buku itu ialah “Kepelbagaian Isu Pandemik COVID-19 dari Perspektif Kesihatan”, “Kepelbagaian Isu Pandemik COVID-19 dari Perspektif Sains Sosial” dan “Pandemik COVID-19 Pengalaman Malaysia & Indonesia.”

Beliau berkata pandemik COVID-19 memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan seharian masyarakat dunia temasuk Malaysia.

Justeru, katanya, masyarakat tidak boleh berdiam diri dan perlu mencari langkah untuk bangkit semula bagi mendepani kesan pandemik ini secara terarah agar kekal sejahtera.

“Buku-buku tersebut  mengetengahkan isu pandemik dengan menghimpunkan artikel yang menyentuh pelbagai aspek kesihatan, mempersoalkan konteks sosial dalam membendung penularan COVID-19 serta membincangkan impak pandemik kepada masyarakat Malaysia dan Indonesia khususnya,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Idrus pula berkata UPM dan rakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain akan terus berusaha menjalankan kajian dan menghasilkan penerbitan bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat demi pembangunan negara.

“Penerbitan buku ini adalah bukti sumbangan penyelidik dalam menyediakan maklumat serta cadangan kepada langkah pencegahan dan pengurusan kesihatan diri masyarakat berdasarkan kajian empirikal yang dijalankan dalam bahasa yang mudah difahami dan diaplikasikan,” katanya.

Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Belia, IPSAS, UPM, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata beliau terpanggil untuk menghasilkan buku bertemakan COVID-19 kerana menjadi tanggungjawab sebagai akademia untuk menyelami permasalahan serta isu berkaitan masyarakat dan negara.

“Saya menghasilkan tiga buah sekaligus dengan tajuk berbeza kerana apabila kita mendalami isu berkaitan COVID-19 ia bukan hanya berfokus kepada isu kesihatan tetapi juga isu sosial. Adalah penting untuk melibatkan rakan ASEAN dan juga jiran rapat kita iaitu Indonesia yang turut ditempiasi isu yang sama,” katanya.

Buku “Kepelbagaian Isu Pandemik COVID-19 Dari Perspektif Sains Sosial” berkisar kepada kepelbagaian isu COVID-19 daripada aspek sains sosial dalam mendepani pandemik itu di Malaysia melibatkan pelbagai disiplin seperti psikologi, komunikasi, pengurusan, ekonomi, agama dan alam sekitar.

Buku “Pandemik COVID-19: Pengalaman Malaysia dan Indonesia” menyajikan pelbagai isu berkaitan pandemik COVID-19 oleh kumpulan penyelidik sosial daripada Malaysia dan Indonesia yang menghuraikan perspektif pandemik itu, serta impaknya kepada belia, komuniti, perusahaan industri kecil dan sederhana, pematuhan operasi standard, perubahan nilai norma, perubahan dalam sistem pendidikan dan golongan petani.

Buku “Kepelbagaian Isu Pandemik COVID-19 Dari Perspektif Kesihatan” terhasil apabila menyedari wujud pelbagai isu kesihatan di Malaysia akibat pandemik itu, yang menghimpunkan sejumlah 18 artikel menyentuh pelbagai aspek kesihatan daripada penulis pelbagai latar bidang.

Penerbitan buku ini diharap dapat memperkaya ilmu dan pengetahuan termasuk kaedah pencegahan dan pengurusan berkaitan pandemik COVID-19 di kalangan pihak berkepentingan khususnya agensi berkaitan, petugas kesihatan, pelajar perubatan dan sains kesihatan serta masyarakat keseluruhannya. - UPM

Tarikh Input: 24/05/2021 | Kemaskini: 24/05/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJVKAp:10:28