| Universiti Putra Malaysia

Menghadapi detik sukar bukan penghalang Muhammad Amirul untuk tamat pengajian

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu), FBMK

SERDANG, 23 Mac – Graduan Master Sastera Bahasa Melayu, Muhammad Amirul Kamarudin, 29, pernah menghadapi detik yang sukar dalam hidupnya dan hampir berputus asa untuk menyambung pengajiannya.

Berkat sokongan dan dorongan keluarga, hari ini anak kelima daripada tujuh orang adik beradik itu berjaya bergraduat pada sesi kelima Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali ke-45.

Pada awal pengajiannya beliau diberikan bantuan dana melalui elaun Graduate Research Fellowship (GRF) untuk kegunaan dan perbelanjaannya semasa berada di UPM.

Namun begitu, ketika di semester empat, elaun tersebut sudah tidak dapat diteruskan membuatkan beliau mengalami masalah kewangan.

Beliau mengambil keputusan untuk pulang kampungnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu perniagaan keluarga di pasar malam dengan menjual makanan seperti kurma, asam dan makanan kering yang lain.

“Banyak masa saya dihabiskan dengan berniaga di pasar malam dan pada masa yang sama saya perlu berjuang untuk menerbitkan jurnal bagi kajian saya,” katanya.

Bagai jatuh ditimpa tangga, apabila ibunya disahkan menghidapi kanser usus.

Muhammad Amirul hampir berputus asa dalam pengajiannya. Baginya tumpuan terhadap kesihatan ibunya jauh lebih penting. Meskipun berat untuk menerima hakikat, beliau terpaksa akur dengan takdir Allah S.W.T atas dugaan yang diterima.

Di kala ibunya sakit, beliau sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada ibunya dan perlu membawa ibunya membuat rawatan secara berkala di Hospital Seberang Jaya, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Bapanya telah meninggal semasa beliau berusia 17 tahun ketika beliau sedang mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menyebabkan beliau tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya semasa peperiksaan itu.

Apabila ibunya beransur pulih, ibunya menyuruh beliau kembali ke UPM untuk terus menyambung pengajian kerana mahu melihat beliau berjaya seperti orang lain dan tidak mahu sia-siakan tenaga dan wang yang telah dilaburkan di awal pengajian.

“Saya tekad meneruskan pengajiannya atas permintaan ibu dan dorongan keluarga menyebabkan saya berjaya ke peringkat ini,” katanya.

Muhammad Amirul berkata, walau apa pun cabaran dan halangan di hadapan, jangan pernah berputus asa, percaya dan yakinlah dengan perancangan Allah S.W.T, perjuangan yang mula dengan kepahitan akan menjadi manis bila di penghujungnya. - UPM

WXEZXAn~