| Universiti Putra Malaysia

MELAKUKAN PERLBAGAI KERJA SAMBILAN TIDAK HALANG GRADUAN RAIH MASTER

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu), FBMK

SERDANG, 23 Mac – “Berada di universiti bukan sahaja untuk menuntut ilmu tetapi juga untuk menimba pelbagai pengalaman bekerja sebelum menghadapi alam pekerjaan yang sebenar,” kata Nur Syafikah Abdullah yang bergraduat pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-45 hari ini.

Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Master dalam bidang Kesusasteraan Melayu mengakui perlu melakukan pelbagai kerja sambilan bagi kelangsungan hidup di kampus.

Ayahnya yang bekerja sebagai pemandu bas diberhentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan keadaan itu mendorong beliau untuk bekerja lebih keras untuk mencari wang tambahan sambil dapat mengisi masa yang terluang.

Nur Syafikah akui tidak datang daripada keluarga yang senang dan baginya bekerja di dalam universiti menjadi inisiatif untuk menjana pendapatannya.

“Dengan hasil titik peluh sendiri pasti hasilnya lebih berbaloi dan memuaskan,” katanya.

Pelbagai perkara baharu yang dipelajarinya semasa bekerja di samping dapat menyesuaikan diri dengan orang ramai.

“Saya pernah bekerja di Pusat Pertanian Putra (PPP) dan juga pernah menjadi Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pejabat Bursar UPM serta bekerja di beberapa kedai minuman sekitar Kolej Serumpun,” katanya.

Tambah beliau, bekerja sambil belajar bukannya mudah kerana perlu bijak dalam membahagikan masa dengan baik.

Beliau bersyukur kerana UPM sangat prihatin dengan pelajar kerana sentiasa membuka ruang dan peluang untuk pelajar menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan program sukarelawan.

“Dengan ada peluang sebegini pelajar dapat menceburkan diri melalui pengalaman bekerja di samping dapat mempelajari tentang pengurusan masa dengan baik. Terdapat sesetengah pekerjaan dapat dilakukan secara fleksibel dan pelajar perlu menguruskan jadualnya dengan betul,” katanya.

Baginya perkara ini perlu diteruskan sebagai usaha murni UPM untuk membantu nasib pelajar. - UPM

SXERHAM~