MAKeF2020 Rai Pelajar Cemerlang Secara Atas Talian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » MAKeF2020 rai pelajar cemerlang secara atas talian

MAKeF2020 rai pelajar cemerlang secara atas talian

Oleh: Raja Hazwani Raja Muhamad Tamrin

SERDANG, 10 Dis – Seramai 108 orang pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapat keputusan cemerlang pada sesi pengajian 2019/2020 diraikan pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Jabatan Fizik  2020 (MAKeF2020) yang diadakan secara atas talian.

Majlis apresiasi yang lazimnya dijalankan secara fizikal itu, dilaksanakan secara atas talian di laman Facebook “Kelab Mahasiswa Fizik (KMF) UPM” menggunakan Streamyard sebagai platform bersiaran secara langsung.

Ia dijalankan oleh Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Fizik (KMF) dan ditransformasikan kepada atas talian buat julung kalinya.

Majlis diketuai Penasihat KMF, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen, Dr Nor Kamilah Saat serta Jawatankuasa Pelaksana yang turut bertujuan memberi semangat kepada pelajar Jabatan Fizik untuk terus berusaha mencapai PNGK cemerlang pada setiap semester.

“Tiada siapa menyangka majlis penganugerahan juga boleh dilakukan atas talian. Atas kreativiti dan inovasi bersama exco KMF, kami berjaya melaksanakan majlis penganugerahan yang kreatif dan berimpak tinggi,” kata Dr Yap

Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Quantum Leap, Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal Siswazah, Anugerah Adisiswa Fizik, Anugerah Profesor Zainal Abidin Talib, Anugerah Profesor Abdul Halim Shaari dan Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz.

Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Suriati Paiman memberi motivasi kepada pelajar Jabatan Fizik untuk terus berusaha dalam mendapatkan PNGK cemerlang dengan memberi kata-kata semangat kepada pelajar untuk tidak melupakan perkara yang wajib sepanjang menjadi pelajar di UPM.

Lima pelajar yang menerima anugerah turut menyumbang dalam program itu iaitu Pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan Kepujian, Goh Yong Shen; Pelajar Tahun 2 Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan Kepujian, Khaled Saufi Raisin; Pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Dalam Sains Bahan Dengan Kepujian, Fatin Nadhirah Binti Rozman; Pelajar Tahun Akhir Bacelor Sains Dalam Sains Instrumentasi Dengan Kepujian, Ku Ikmal Bin Ku Azman; serta penerima Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz, Pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Dalam Sains Instrumentasi Dengan Kepujian), Habibuzzikri Ajeman.

Mereka berkongsi tips pengurusan masa serta cara belajar yang berkesan untuk pencapaian akademik cemerlang. Sesi perkongsian itu memberi manfaat serta inspirasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik, kurikulum dan kepemimpinan.

Pengarah MAKeF2020, Muhamad Zamri Kariming berkata situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara bukan penghalang untuk beliau dan rakan-rakan mempelajari cara untuk menjayakan majlis yang besar menggunakan teknologi terkini.

MAKeF2020 turut mengadakan persembahan khas dari pelajar Tahun 1 Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian, Muhammad Syafi Haziq Mohd Fauzi.

Pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Dalam Sains Bahan (Dengan Kepujian), Izyan Fatihah Abdul Fatah berkata walaupun majlis berjalan secara atas talian, ia mampu memberi semangat untuk beliau belajar pada waktu cuti penggal pertama ini.

“Selepas menyaksikan MAKeF2020, saya bersemangat untuk terus meningkatkan prestasi PNGK walaupun berada di rumah lebih sembilan bulan,” katanya.    

MAKeF2020 mendapat sambutan tinggi daripada pelajar Jabatan Fizik, ibu bapa penerima anugerah dan pihak lain dengan jumlah tontonan di Facebook Live itu mencecah 1,500 tontonan. – UPM  

 

Tarikh Input: 12/01/2021 | Kemaskini: 13/01/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJXXA7:23:03