| Universiti Putra Malaysia

Mak buyung siram pokok padi setiap hari tuai hasil raih Master

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari



SERDANG, 30 Nov – Pegawai Sains Institut Biosains (IBS) UPM, Nor Umaira Abu Asan, 35, gigih dan cekal menyiram 60 pokok padi setiap hari ditambah dengan perut yang sarat hamil anak ketiga demi menamatkan kajiannya dalam Master Bioteknologi Mikrob.

Menurutnya, setiap hari tanpa gagal sebelum memulakan kerja hakiki beliau akan melihat paras air pokok padinya dan selepas tamat waktu kerja juga Umaira akan melakukan rutin yang sama.

“Saya juga terpaksa mengorbankan enam bulan untuk membawa anak berjalan-jalan kerana perlu memantau pokok. Pada hujung minggu saya perlu ukur perkembangan pokok padi.

“Saya juga membawa kerusi kecil kerana sedikit sukar untuk tunduk menyiram pokok apabila perut sudah semakin membesar membawa anak dalam kandungan,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata di saat pokok padinya telah mengeluarkan hasil, anak dalam kandungannya juga lahir ke dunia dan beliau menggunakan tempoh cuti bersalin untuk menyiapkan tesis.

“Perancangan Allah sangat cantik. Saya bersalin selepas pokok-pokok saya mengeluarkan hasil dan apabila cuti bersalin saya sudah tidak perlu melihat pokok padi.

“Sepanjang tempoh bersalin saya fokus membuat analisis data yang telah dikumpulkan dan saya nekad mahu melengkapkan pengajian Master dan menyiapkan tesis sebelum mula bekerja.

“Terima kasih UPM kerana memberikan pengurangan yuran sebanyak 50 peratus kepada staf yang menyambung pengajian tanpa cuti belajar. Ini merupakan sumber galakan kepada staf untuk menyambung pengajian,” katanya. -UPM

SXETNAU~