| Universiti Putra Malaysia

Maisarah pilih skuter elektrik berbanding bas untuk ke kuliah

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun

 

SERDANG, 24 Mac - Gadis kelahiran Bintulu, Siti Nur Maisarah Mahli, 21, yang merupakan pelajar tahun satu, Bacelor Bahasa Arab dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), menarik perhatian apabila memakai baju kurung menggunakan skuter elektrik untuk bergerak ke kuliah.

Menurutnya, beliau lebih memilih untuk menggunakan skuter elektrik berbanding menaiki bas ke kelas kerana tidak perlu bersesak dan berebut dengan pelajar lain terutamanya ketika waktu kemuncak.

“Kalau bas sudah penuh saya perlu menunggu bas lain datang pula dan memakan masa. Oleh itu, skuter elektrik ini sangat membantu saya untuk kemana-mana dalam kawasan kampus selain saya boleh bersiar-siar sambil menikmati keindahan kampus hijau UPM.

“Selain itu, saya juga dapat mengurangkan jejak karbon di universiti ini berbanding membawa kereta dan motorsikal. Sebelum ini saya ada basikal tetapi saya lebih selesa dengan skuter ini kerana tidak perlu kayuh dan tidak penat. Sekiranya hari hujan barulah saya akan menaiki bas,” katanya.

Beliau yang membeli skuter elektrik terpakai dengan harga sekitar RM500 berkata, cabaran utama mengendalikan skuter ini ialah beliau perlu membawa skuter seberat 15 kilogram (KG) naik ke tingkat tiga biliknya di Kolej 12 UPM setiap hari bagi proses pengecasan atau penyimpanan.

“Kebiasaannya saya akan cas bateri pada waktu malam dan ketahanan bateri penggunaan skuter ini boleh tahan seminggu untuk saya ulang alik dari kolej ke kelas bergantung pada kekerapan penggunaan.

“Cabaran lain ialah faktor keselamatan. Walaupun UPM ada laluan basikal di dalam kampus dan separuh di kawasan kolej kediaman tetapi ada laluan yang perlu saya berhati-hati terutamanya di jalan-jalan utama kerana perlu berkongsi jalan dengan motor dan kereta.

“Saya khuatir di langgar daripada belakang. Oleh itu, saya amat mementingkan pemakaian topi keledar keselamatan,” ujar anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengajak rakan-rakannya yang berkemampuan untuk memiliki skuter elektrik sepertinya sebagai kenderaan alternatif menghadiri kelas mahupun aktiviti kokurikulum agar terus menjaga kelestarian kampus. -UPM

SXEUOAq~