| Universiti Putra Malaysia

Lengkapkan diri untuk sentiasa relevan: Naib Canselor

SERDANG,  24 Mei - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris mahu warga univerisiti terus melengkapkan diri dengan kemahiran, ilmu pengetahuan dan sifat peribadi yang tinggi untuk memastikan setiap mereka sentiasa relevan.

Untuk terus maju dan mencapai kejayaan, katanya, seluruh warga UPM harus mendokong dan melaksanakan transformasi yang telah dirancang.

“Meskipun kita mengamalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam mengurus prestasi tinggi di UPM, ingin saya tegaskan bahawa roh dan matlamat bukan ditentukan pada angka semata-mata.

“Demi kelestarian kecemerlangan UPM, saya sangat berharap semua warga UPM melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti,” katanya pada Majlis Gemilang Putra dan Sambutan Hari Pekerja 2017 UPM di sini. Ia bertemakan “Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi.”

Beliau berkata, warga UPM perlu memahami dan menghayati bahawa kecemerlangan sesebuah universiti tidak bergantung kepada aspek luaran dan kemudahan fizikal yang mempersonakan sahaja tetapi turut dijana menerusi keupayaan, kemahiran, keperibadian dan komitmen tinggi asset utamanya iaitu manusia.

“Sumber manusia yang diperlukan oleh universiti mestilah berilmu, memiliki teras kemahiran yang bersesuaian, berfikiran strategik, kreatif dan inovatif supaya kekal relevan dengan peredaran masa dan prestasi universiti.

“Dengan pemikiran sebeginilah, akan wujudnya percambahan ilmu pengetahuan, serta menjamin perkembangan pelbagai bidang penyelidikan baharu dan menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen,” katanya.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini juga berkata majlis yang diadakan itu adalah sangat penting sebagai ruang khusus mengiktiraf dan memberi penghargaan terhadap manifestasi, komitmen dan iltizam UPM yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2016 dan mereka yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada universiti.

Beliau berharap pemberian anugerah cemerlang itu akan menjadi pendorong kepada staf lain untuk terus memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik dalam segala aspek dan menjadikan UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia yang kompetitif.

Seramai 734 warga UPM termasuk yang sudah bersara menerima anugerah yang disampaikan Prof. Datin Paduka Dr. Aini.

Mereka terdiri daripada enam penerima Anugerah Jasamu Dikenang iaitu untuk waris pekerja yang meninggal semasa dalam perkhidmatan; Anugerah Jasa Putra (177 penerima); Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (468 penerima); Anugerah Setia Putra (27 penerima); dan Anugerah Bakti Putra (50 penerima).

Anugerah Tokoh Pekerja kategori Pengurusan dan Profesional (Akademik) diterima oleh Prof Dr Mohd Ali Hassan dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, manakala Pegawai Penyelidik dari Institut Pengajian Sains Sosial, Dr. Jeffrey Lawrence D’Silva A/L Alby menerima bagi kategori Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik), dan Penolong Pegawai Pertanian, Taman Pertanian Universiti, Mohd Zailani Abd Razak bagi kategori Kumpulan Pelaksana. Tiga orang lagi turut menerima Anugerah Perkhidmatan Paling Lama. - UPM      

WXDdRA~