| Universiti Putra Malaysia

Lebih 80 penyelidik, saintis sertai pameran NYAWA’19

Oleh Siti Nur Amanina Nazri

Foto Marina Ismai

SERDANG, 13 Okt – Lebih 80 orang penyelidik dan saintis mengambil bahagian dalam pameran Nature’s Yield and Wonders of Art (NYAWA) ’19 di Universiti Putra Malaysia (UPM), yang bertujuan mendekatkan dunia ilmuan di universiti dengan masyarakat umum mengenai penyelidikan dan penemuan saintifik.

Pameran itu bertemakan NYAWA ’19: FOOD. Melalui tema itu, penyelidik mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengembangkan daya kreativiti mereka.

Sebanyak 19 artifak dihasilkan dan menerusi pameran itu, satu penerbitan berindeks akan diterbitkan.

Pameran itu diadakan selepas kejayaan siri sebelum ini dengan tema yang berlainan iaitu FRUIT (2012); INSECT (2013); MICROBE (2014); BIRD (2015); BRAIN (2015); BRAIN (2016); LIGHT (2017) dan EARTH TO SKY (2018).  

Pameran berindeks itu hasil kerjasama antara eDU-PARK®, Putra Science Park, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UPM, Tan Sri Ghauth Jasmon berkata UPM sentiasa menggalakkan para penyelidik dan saintis untuk menghasilkan artifak-artifak yang kreatif untuk dipamerkan, lantas menjadi tarikan edu-pelancongan di UPM.

“Setiap hasil seni terutamanya lukisan yang dihasilkan mempunyai nilai yang tersendiri dan mampu menjana pendapatan individu,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zulkifli Idrus, berkata eDU-PARK® merupakan satu inisiatif inovatif bagi meningkatkan keterlihatan UPM kepada masyarakat terhadap inovasi dalam pertanian, sains, teknologi, kesihatan, dan kehidupan keseluruhannya dengan cara yang lebih menarik dan mesra pengunjung.

Katanya, masyarakat umum berpeluang untuk meneroka dunia ilmuan dan menimba pengetahuan dari daripada pensyarah dan pegawai UPM yang terlatih selaras dengan Lonjakan 7: Ekosistem Inovasi di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 (PPPM(PT)2015-2025).

Beliau berkata, ia juga menyumbang kepada pencapaian matlamat UPM iaitu melonjak perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat. – UPM

WXEZXAv~