Lebih 500 Hadir Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Lebih 500 hadir Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan

Lebih 500 hadir Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan


Oleh Nisa Khairina Amirudin

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 6 Ogos – Lebih 500 peserta daripada pelbagai latar belakang seperti pesawah padi, pegawai pertanian, pegawai pengembangan, pegawai penyelidik, penggubal dasar pertanian industri padi, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar, menghadiri Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan 2019 (PPPK 2019) di sini.

Persidangan bertemakan “Pesawah Produktif Pemacu Sekuriti Makanan Negara” yang diadakan pada 6 dan 7 Ogos itu, dianjurkan Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antara pengisian program adalah pembentangan kertas kerja, soal jawab bersama pakar, perkongsian kejayaan oleh ikon pesawah padi, klinik pakar pertanian serta pameran produk inovasi oleh UPM, agensi pertanian, syarikat swasta, penyelidik serta pelajar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, persidangan itu bertujuan memberi pendedahan kepada semua peserta terutamanya pesawah padi dan agen pengembangan padi dengan teknologi terkini dalam asek agronomi dan pengurusan sawah yang berkesan.

“Dengan teknologi yang semakin berkembang, pesawah dituntut untuk mengadaptasi teknologi terkini dalam pengurusan dan pengeluaran padi  bagi meningkatkan hasil padi dan seterusnya meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya.

Beliau berkata, PPPK 2019 adalah bertepatan dengan Dasar Agromakanan Negara yang menekankan kepada modal insan berpengetahuan dan berdaya saing bagi memastikan peningkatan dan pemodenan industri padi negara.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pula berkata, UPM giat menjalankan aktiviti pengembangan pertanian terutamanya kepada komuniti pesawah di seluruh negara dan pelbagai penyelidikan serta pembangunan teknologi baharu dijalankan khususnya berkaitan sektor padi-beras.

Selain pelbagai inovasi yang aktif dijalankan dari 2011 sehingga 2019 seperti varieti baharu PadiU Putra 1 yang memberikan peningkatan hasil padi sebanyak 10-30%, katanya, terdapat juga kajian pertanian tepat seperti teknologi menggunakan pesawat tanpa pemandu atau drone dan aplikasi kepintaran buatan (artificial intelligent) yang dibangunkan oleh penyelidik UPM bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sawah padi.

“Penyelidik UPM juga telah menghasilkan inovasi baharu seperti teknologi biobaja dan biopestisid untuk pengawalan siput gondang yang telah dilancarkan dan dikomersialkan oleh UPM,” katanya.

Sementara itu, memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan syarikat Kelola Bendang Sdn. Bhd. ditandatangani pada majlis itu.

Melalui MoU itu, UPM komited untuk membimbing syarikat Kelola Bendang bagi mencapai pengeluaran hasil padi yang tinggi di samping menjadikan kawasan sawah syarikat itu sebagai satu daripada platform penyelidikan padi dan latihan untuk pelajar UPM. - UPM

Tarikh Input: 27/08/2019 | Kemaskini: 27/08/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWEAL:04:42