Lebih 150 Pelajar Sertai Kem Perhutanan 2019 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Lebih 150 pelajar sertai Kem Perhutanan 2019

Lebih 150 pelajar sertai Kem Perhutanan 2019

Oleh Nisa Khairina Amirudin

Foto Marina Ismail

PUCHONG, 3 Julai – Seramai 153 orang pelajar tahun satu Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pelajar lima buah universiti Indonesia menyertai  Kem Perhutanan 2019 di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong.

Lima universiti Indonesia itu ialah Universitas Hasanuddin, Institut Pertanian Bogor, Universitas Mataram, Universitas Brawijaya dan Universitas Sumatera Utara.

Pengarah Program, Dr. Razak Terhem berkata Kem Perhutanan itu bertujuan mendedahkan pelajar mengenai teori dan kemahiran asas perhutanan serta membentuk kemahiran insaniah pelajar.

“Antara objektif utamanya ialah mengaplikasikan teori yang telah dipelajari, mengasah bakat kepimpinan dan membentuk kemahiran insaniah serta psikomotor,” katanya.

Beliau berkata, lima modul digunakan sepanjang program itu iaitu kemandirian hutan, pengurusan hutan, pengeluaran hutan, taman rekreasi. dan kembara berkumpulan.

Katanya, peserta dinilai kerana Kem Perhutanan itu adalah kursus berkredit.

Pelajar tahun satu Bacelor Sains Perhutanan, Fakulti Perhutanan, UPM, Aiman Amirah Juahir berkata program itu memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar perhutanan malah kepada orang awam.

“Ia membuka mata untuk melihat kesan daripada perubahan iklim seterusnya berusaha untuk menghasilkan solusi,” katanya dan berharap pengalaman serta ilmu yang diperolehi sepanjang menyertai kem itu dapat diguna pakai olehnya pada masa hadapan.

Pelajar Universitas Mataram Indonesia, Akbar Al Imam pula berkata, pelbagai pengalaman dan ilmu diperolehi melalui aktiviti dan modul yang disediakan seperti ikhtiar hidup di dalam hutan serta kepentingan hutan melalui perubahan iklim yang dikaji melalui perbezaan suhu di dalam dan di luar hutan.

“Harapan saya adalah untuk datang kembali, belajar lebih mendalam mengenai perhutanan dan menyumbang kepada Indonesia daripada segi pengurusan hutan,” katanya.

Kem Perhutanan itu yang bertemakan “Combating Climate Change through Young Foresters” dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan (UPM) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Ia turut mendapat tajaan syarikat korporat seperti Brahim’s, Ajinomoto dan Massimo.

SPAN juga mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program “Caring Forest For Our Water Resources” untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pemuliharaan air. – UPM

Tarikh Input: 31/07/2019 | Kemaskini: 31/07/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566076939