Lawatan Ilmiah Dekati Anak Jalanan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Lawatan ilmiah dekati anak jalanan

Lawatan ilmiah dekati anak jalanan

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Pelajar Master dari program Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling (Tumpuan Pendidikan Pencegahan dan Pemulihan Dadah), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mengadakan program lawatan ilmiah ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), di bawah Program Community Based Learning (CBL).

Program yang diketuai Mohd Asmaneyadi Jamaludin dan disertai seramai 16 orang pelajar itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sarjana untuk lebih mengenali dan mendekati golongan anak-anak jalanan yang terpinggir sekitar Kuala Lumpur yang telah mendapat pembelaan daripada segi pendidikan di sekolah itu.

SBJK merupakan satu-satunya sekolah yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pendidikan bagi menempatkan golongan anak-anak tercicir atau gelandangan untuk mendapatkan hak pendidikan yang sewajarnya.

Pada program itu, pelajar diberi taklimat oleh pihak pengurusan sekolah mengenai sejarah penubuhan dan pengurusan sekolah. Rata-rata pelajar menyatakan rasa kekaguman mereka terhadap semangat dan keikhlasan guru yang bertungkus lumus membantu anak-anak tercicir tanpa meminta balasan.

Selain itu, aktiviti berbentuk latihan dalam kumpulan (LDK) dan pertandingan turut diadakan. Melalui aktiviti “Hero Saya”, anak-anak gelandangan itu diberi kesedaran bahawa diri mereka sebenarnya diterima dan disayangi oleh komuniti luar dan orang sekeliling.

Mohd Asmaneyadi berkata melalui aktiviti CBL yang dianjurkan, pelajar menyatakan rasa bersyukur kerana mendapat peluang berhubung dengan pelbagai lapisan masyarakat serta komuniti luar secara realiti.

“Ini adalah pengalaman yang berharga daripada aktiviti sebegini yang berupaya  melahirkan graduan yang berkemahiran dari segi insaniah, mempunyai semangat cakna terhadap nasib masyarakat, dan seterusnya menyumbang dalam usaha melahirkan ahli masyarakat yang lebih baik,” katanya.

Melalui aktiviti perkongsian yang diadakan, bakat dan potensi anak-anak itu dapat dicungkil apabila rata-rata dari mereka berani dan bersedia menunjukkan kebolehan masing-masing untuk bercerita dan berkongsi pengalaman. – UPM.

 

Tarikh Input: 16/12/2019 | Kemaskini: 16/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJcRAf:17:46