| Universiti Putra Malaysia

Larian Diabetes beri kesedaran kepada orang ramai

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Unit Media dan Teknikal Diabetes Day 2023

SERDANG, 3 Jun- Penganjuran program Diabetes Run ternyata mendapat sambutan hangat apabila ramai peserta menyertai program larian di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Acara larian kali ini dibuat di sekitar UPM disertai kira-kira 800 peserta terdiri daripada pelajar, staf dan masyarakat setempat.

Larian itu bermula dari Dewan Besar,Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM ke Bukit Expo.

Pengarah Projek Diabetes Run, Prof. Madya Dr. Cheah Pike See, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berkata, acara kali ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 5km dan 7km.

Katanya, antara objektif utama program berkenaan adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit kencing manis dan mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah secara santai.

“Kesedaran mengenai bahaya penyakit seperti kencing manis ini tidak hanya dapat dilakukan di dalam hospital tetapi senaman sangat penting untuk lebih sihat.

“Ini adalah salah satu cara untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat. Andai tak mampu berlari berjalanlah setiap hari walaupun 10 minit" katanya.

Selain acara larian berkenaan, pelbagai aktiviti saringan kesihatan diadakan antaranya ujian pendengaran, ujian mata, saringan glukos, dan saringan sakit tulang belakang.

Sementara itu, peserta Diabetes Run, Mariani Yacob, 35, berkata, andai sudah menghidapi sakit kronik, ubatnya adalah senaman.

"Bukan hanya makan ubat untuk sembuh, tetapi amalkan senaman untuk lebih cergas serta berasa segar.

"Zaman sekarang ini bukan orang tua sahaja yang menghidap penyakit diabetes. Tetapi golongan muda juga sama. Saya ingin berpesan supaya jaga pemakanan dan bersenamlah sekurang-kurangnya seminggu 3 kali," katanya. - UPM

WXDdBAt~