Lahirkan Graduan Sebagai Insan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Lahirkan graduan sebagai insan

Lahirkan graduan sebagai insan

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail dan Noor Azreen Awang

 

SERDANG - Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Academician Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim mahu UPM melahirkan graduan sebagai insan, dan bukan semata-mata berpaksikan modal insan.

Beliau berkata, graduan yang berkualiti seperti dihasratkan oleh negara adalah bukan hanya cemerlang dalam pencapaian akademik tetapi juga cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek.

“Graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab, amat penting ke arah melahirkan insan yang luhur dan bermaruah.

“Ia juga bertepatan dengan konsep Ihsan sebagai tonggak kecemerlangan UPM, yang menekankan soal kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan,” katanya semasa berucap  pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen ke-43 UPM di sini.

Beliau turut meningatkan graduan untuk terus menuntut ilmu, dan proses pembelajaran tidak harus terhenti apabila mendapat pekerjaan.

“Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri. Jadikan kejayaan pada hari ini sebagai landasan untuk memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban manusia, yang lebih berkualiti, berintegriti dan bersinergi dengan alam persekitaran,” katanya.

Beliau juga berharap graduan tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga, yang menjadi tonggak kejayaan yang diraih oleh graduan.

“Tanpa mereka, siapalah kita. Saya percaya, kejayaan pada hari ini boleh menjadi pemangkin kepada para graduan untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara, dalam apa-apa juga bidang yang diceburi,” katanya. – UPM

 

Tarikh Input: 18/11/2019 | Kemaskini: 04/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJaRAx:17:10