| Universiti Putra Malaysia

Kitar semula bahan untuk hasilkan tenaga, biochar

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam Singh

KLANG – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Biochar Malaysia (BMA) mengadakan lawatan ke kilang pengurusan buangan terjadual Tex Cycle (P2) Sdn Bhd (Tex Cycle) di sini untuk meneliti dan mempelajari konsep ‘negatif karbon’ yang dipraktikan oleh syarikat itu.

Lawatan tapak itu juga disertai oleh wakil daripada Manipal University, Nilai, Indah Water Konsortium dan GoGreen.

Presiden BMA, Dr. Amran Salleh, yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, UPM berkata pemprosesan bahan buangan yang sudah dirawat untuk dijadikan tenaga daripada biojisim tertentu, bukan perkara yang baharu, namun tidak ramai yang mengetahui mengenai produk-produk yang boleh dihasilkan.

“Di Tex Cycle, mereka menguruskan bahan buangan itu yang dijadikan bekalan tenaga untuk kegunaan elektrik. Sisa-sisa bahan buangan seperti serpihan kayu-kayan diproses menjadi biochar,” katanya.

Biochar adalah arang yang terbentuk daripada bahan-bahan biojisim seperti kayu, sisa-sisa pertanian dan sisa-sisa ternakan. Biochar diguna sebagai bahan tambah ke atas tanah dan banyak kajian yang dilakukan membuktikan biochar dapat membantu meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman serta mengurangkan aplikasi baja kimia. 

Ia dapat membantu pengusaha tanaman mengurangkan kos baja. Biochar juga memberi impak positif kepada alam sekitar kerana membantu dalam penyusutan karbon.

Pengarah syarikat Tex Cycle, Ho Siew Cheong pula berkata pihaknya sentiasa membuka peluang kepada mana-mana institusi pendidikan dan penyelidikan yang berminat untuk bekerjasama dalam penghasilan produk daripada bahan buangan yang boleh di kitar semula. 

“Kita harus sedar bahawa bahan buangan adalah sumber yang sentiasa ada dan bertambah setiap hari. Jika pembuangan sampah di tapak pelupusan dilakukan secara tidak sistematik, ia akan menyebabkan pencemaran air, tanah dan udara,” katanya.

Beliau berkata proses kitar semula bahan buangan tertentu untuk dijadikan tenaga dan biochar adalah seiring dengan visi syarikat iaitu mengamalkan kemapanan dalam setiap aspek perniagaan dengan mencapai sifar sisa melalui memaksimumkan sumber.

BMA dan Tex Cycle (P2) Sdn Bhd akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan dalam menyelesaikan masalah karbon dalam skala yang lebih besar melalui pertukaran teknologi serta kepakaran.

Tex Cycle menyediakan perkhidmatan profesional dalam bidang pengurusan buangan terjadual dengan kaedah yang tidak membahayakan alam sekitar. – UPM

SXDdNAg~