Kenaikan Harga Makanan: Mengapa Dan Apa Seterusnya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kenaikan harga makanan: Mengapa dan apa seterusnya

Kenaikan harga makanan: Mengapa dan apa seterusnya

Oleh Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad



SERDANG, 25 Feb (UPM) -  Turun naik harga makanan adalah norma pasaran. Rata-rata hakikat ini diterima oleh rakyat jelata.

Malahan pasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kurangan produk di atasi. Iaitu bila berlaku lambakan, hanya melalui harga yang rendah, stok yang berlebih boleh dijual, dan sebaliknya. Ini adalah fungsi asas harga.

Tetapi, apabila kenaikan harga adalah melebihi daripada paras “normal”, atau harga meningkat “berlebihan”, gejala ini sukar diterima terutama oleh pengguna terutama yang berpendapatan rendah.

Kegelisahan mereka ini sebenarnya berasas. Ini kerana sejak kebelakangan ini, harga makanan menampilkan peningkatan yang di tanggap sebagai lebih daripada biasa atau “berlebihan”.

Peratus peningkatan adalah lebih tinggi daripada yang ditunjukkan sebelum ini.

 



Bila meniti trend harga dalam akhbar atau kaca TV perlu berhati-hati. Terkandung dalam rajah harga turun naik itu adalah; trend jangka panjang, kitaran, musiman dan kejutan jangka pendek.

Masing-masing ditentukan oleh faktor tersendiri. Trend meningkat jangka panjang adalah disebabkan faktor teknologi dan populasi. Pola musiman kerana sesetengah komoditi seperti durian, dukung memiliki musim pengeluaran tertentu.

 Variasi harian pula disebabkan faktor persepsi dan spekulasi.

 Jadi, tidak menghairankan apabila Perdana Menteri menyatakan harga kangkung telah menurun, kerana mungkin beliau melihat trend harga harian.

Tetapi trend harga kangkung dalam jangka masa panjang mungkin meningkat. Ini kerana, kos pengeluaran sayur kangkung tidak statik.

Persoalan yang timbul adalah: Adakah peningkatan ini disebabkan oleh ketidakimbangan penawaran dan permintaan atau disebabkan oleh orang tengah atau peniaga yang sengaja mahu menangguk keuntungan di dalam situasi pasaran yang menunjukkan trend harga menaik.

Menuding kepada orang tengah sudah menjadi jalan mudah untuk mencari jawapan. Hanya data boleh menjawab persoalan ini, iaitu dengan membandingkan kos pengeluaran dan keuntungan.

Semudah itu. Tetapi nampaknya data bukan prioriti utama setakat ini.

Namun, penelitian ke atas dinamik persekitaran semasa, merumuskan kenaikan harga disebabkan oleh gabungan faktor fundamental dan teknikal.  

Faktor fundamental merujuk kepada interaksi penawaran dan permintaan. Faktor teknikal merujuk kepada persepsi pengeluar, peniaga dan

pengguna mengenai trend pasaran dan yang lebih penting tindakan yang mereka ambil.

Apabila permintaan mengejar penawaran, harga akan meningkat. Dan apabila penawaran melebihi permintaan harga akan jatuh. Ini hukum pasaran bebas.

Peningkatan taraf hidup, penduduk yang bertambah (di mana 2 juta lebih adalah pendatang), gaya hidup yang berbeza dan pola pemakanan

yang berubah telah meningkatkan permintaan semua produk dan komoditi makanan.

Di kalangan pengguna berpendapatan rendah, permintaan ke atas beras meningkat dan makanan harian yang lain seperti sayur, buah, ikan dan ayam daging.

Di kalangan pengguna berpendapatan tinggi pula, permintaan ke atas makanan yang “berkualiti”, “berkhasiat” dan “segera” telah meningkat. Ini termasuk ayam daging, produk tenusu, sayur segar dan buah-buahan temperate, daging lembu dan

kambing import, dan makanan proses.

Tetapi pengeluaran makanan dalam negeri tidak serancak permintaan.

Data menunjukkan bahawa pengeluaran makanan di Malaysia masih bergerak dalam kadar perlahan dan pergantungan kepada import masih lagi serius. Sektor pengeluaran masih di takuk lama terutama dari segi teknologi (pengeluaran dan lepas tuai) sehingga bekalannya sering tidak stabil.

Ini kerana tanpa teknologi yang sesuai, pengeluar tidak dapat mengawal penyakit atau

produktiviti rendah, kerugian lepas-tuai tinggi dan tidak dapat menangani masalah cabaran cuaca.


Pensijilan dan pengawalan kualiti masih jauh di bawah apa yang diamalkan oleh negara Thailand.

Produktiviti buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia adalah yang terendah di rantau ASEAN.

Kemajuan dalam pengeluaran daging lembu dan kambing masih belum boleh dimegahkan. Apabila pengeluaran yang masih di tahap tradisional, kecil-kecilan, sebarang kejutan seperti penyakit dan cuaca buruk menyebabkan penawaran menjadi tidak menentu dari segi kuantiti dan kualiti.

Sering kita dengar, bila berlaku lambakan durian, buah dokong dan rambutan harga sangat rendah kerana tiada laluan untuk diproseskan. Kegunaan untuk diproseskan adalah sangat-sangat minimum.

Pengeluaran komoditi makanan yang tidak menentu berdepan dengan permintaan makanan yang tidak anjal ataupun tidak berubah dengan pantas apabila paras harga berubah.

Maka tidak menghairankan apabila harga meningkat dengan mendadak apabila berlaku “kejutan” seperti banjir, perebakan penyakit dan lain-lain cabaran.

Dalam kata ringkas, pengeluaran makanan di Malaysia tidak memiliki kapasiti bertahan kerana sangat sensitif kepada gejala alam dan perubahan pasaran. Inovasi yang ada tidak mencukupi untuk membendung masalah ini.

Import makanan nampaknya mewah, iaitu bekalannya terjamin dan boleh disumber daripada pelbagai negara pengeluar. Ketersediaan import secara tidak langsung tidak mendorong sektor makanan negara untuk menjanakan pembaharuan.

Malaysia memilih untuk mengimport buruh murah daripada luar negara bekerja dalam kebun sayur atau ladang daripada meningkatkan kecekapan dan produktiviti tanah, buruh dan modal. Ia mengatasi masalah kurangan buruh dalam jangka pendek tetapi tidak meningkatkan produktiviti dalam jangka masa panjang.

Kenaikan harga makanan juga didorong oleh kenaikan dalam harga input seperti baja, bahan kimia, tanah, buruh dan mesin. Walaupun kerajaan melindungi harga petrol dan diesel, namun harga baja telah meningkat 70% dalam dua tahun yang lepas dan tahap upah juga meningkat.

Dalam pasaran makanan yang tidak menentu dan berisiko tinggi, persepsi adalah pertimbangan utama kepada pengeluar, peniaga dan pengguna dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.

 

Peserta industri membaca dan membentuk persepsi ke atas pengumuman mengenai

pelaksanaan GST, penarikan subsidi gula, kenaikan kos input dan upah dan rancangan untuk menarik pelbagai subsidi terutama petrol secara berperingkat.

Besar kemungkinan peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan paras harga untuk meminimumkan impak perubahan semua ini ke atas perniagaan mereka.

Faktor di atas adalah faktor yang mudah dipertahankan untuk menerangkan gejala kenaikan harga.  Namun, faktor serius yang tidak disedari oleh ramai adalah faktor sistemik yang telah menular sekian lama, iaitu peminggiran sektor makanan kerana penekanan kepada perindustrian mulai 1980an.


Seperti yang terbukti pada tahun 2008, kejutan krisis mendedahkan daya tahan sektor

makanan negara yang tipis sehingga menggugat sekuriti makanan.

Apakah opsyen kepada Malaysia untuk membendung kenaikan harga ini. Seperti biasa,

penyelesaian jangka pendek mudah dilaksanakan. Tetapi penyelesaian yang lestari memerlukan perancangan dan komitmen politik yang jitu.

Strategi jangka masa pendek adalah termasuk; mengimport produk dan komoditi makanan. Penawaran boleh dianggap stabil kerana kebangkitan negara pengeksport seperti China, India, Vietnam, Myanmar selain pasaran yang telah bertapak lama seperti Thailand.

Memantau dan mengawal harga makanan memang strategi yang baik, tetapi ia memerlukan sokongan seperti pasaran yang kompetitif, sistem maklumat pasaran yang cekap dan kesedaran dan keprihatinan di kalangan pengguna.

Dalam jangka masa panjang, apa yang lestari dan berkekalan adalah struktur industri makanan yang dinamik dan bertumbuh. Masalah struktur dan sistemik yang membatasi kemajuan sektor ini dalam dekad-dekad yang lepas perlu diperbaiki.

Pengalaman di Taiwan, Korea dan Thailand dan di negara barat menunjukkan pendorong utama kepada pertumbuhan adalah teknologi. Teknologi boleh membantu dari segi kecekapan kos, produktiviti, nilai tambah yang tinggi.

Cabaran seperti tarikan sumber yang kuat daripada sektor industri dan bukan makanan perlu ditangani dengan lebih banyak suntikan pelaburan infrastruktur, insentif, sokongan institusi dan R&D.

Semua ini telah tercatat dalam polisi pertanian negara, tetapi memerlukan penekanan yang lebih serius dan pendekatan baru. – UPM

Penulis ini adalah Pengarah,

Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan
Putra Infoport Serdang 43400
Universiti Putra Malaysia
Selangor Malaysia
fatima@upm.edu.my atau mafatimah@gmail.com

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566719022