| Universiti Putra Malaysia

“Kecacatan bukan alasan untuk saya berputus asa”

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Noor Azreen Awang 

SERDANG, 19 Mac: “Saya tidak pernah menjadikan kecacatan saya untuk tidak berusaha dan berputus asa. Malah, ia sebenarnya membakar semangat saya untuk berjaya seperti orang lain,” kata insan istimewa Orang Kurang Upaya (OKU), Hussain Said.

Prinsip itu menjadi pegangannya sejak beliau mula berkerusi roda di tingkatan satu, apabila mula sukar dan tidak boleh berjalan seperti biasa.

Hari ini beliau berjaya menggenggam Ijazah Master Bahasa Melayu dan Komunikasi, pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, di sini.

Hussain, 27, yang berasal dari Wakaf Baru, Kelantan tetapi kini menetap di Tanjung Karang, Selangor menerima Ijazah Master itu daripada Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sesi 1, Majlis Konvokesyen itu.

Katanya, beliau redha dan sentiasa berfikiran posiitif kerana percaya di sebalik kekurangn fizikal yang dialaminya, ada hikmah yang tersembunyi.

“Kekurangan ini bukan alasan untuk berputus asa, dan hari ini saya bersyukur kerana berjaya memperoleh Master,” katanya.

Katanya, beliau mula dikesan mengalami masalah di bahagian kaki apabila tidak boleh berjalan meskipun sudah berusia tiga tahun, sedangkan kembarnya Hassan, telah dapat berjalan dan berlari.

“Emak saya Siti Rusiyah Sidek mula perasan yang otot di sekitar lutut tidak membesar  tidak sepertimana kembar saya. Tapak di kedua-dua kaki saya pula melengkung ke dalam menyebabkan saya tidak boleh berdiri lama,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.

Katanya, ketika di sekolah rendah, beliau dapat berjalan sedikit tetapi terhencut-hencut, tetapi ketika bermula di tingkatkan satu, beliau telah tidak dapat berdiri lama menyebabkan perlu menggunakan kerusi roda.

“Memang awalnya terasa sukar untuk menyesuaikan diri berkerusi roda, dan melihat kawan-kawan lain dapat beriadah dan bersukan. Tetapi saya tekadkan azam dan dapat juga bersukan menyertai pertandingan petanque peringkat daerah Kuala Selangor,” katanya.

Katanya, antara kesukaran yang dihadapi ketika pengajian Ijazah Master adalah semasa hendak berbincang dengan rakan-rakan kerana beliau menetap di kolej kediaman yang mempunyai kemudahan OKU, sedangkan rakan-rakannya berada di kolej kediaman lain.

“Tetapi kerana saya boleh memandu, saya akan memasukkan sendiri kerusi roda ke dalam kereta untuk bergerak ke mana-mana termasuk untuk ke kuliah atau untuk  berbincang dengan rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ekoran pandemik COVID-19 dua tahun lalu, ia telah memudahkan beliau dalam pengajian kerana tidak perlu menghadiri kuliah di kelas sebaliknya mengikuti kuliah secara maya. – UPM

SXEbBAl~