| Universiti Putra Malaysia

KDBM Putra raih naib juara pertandingan debat peringkat Negeri Sembilan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Nilai, 13 September - Kelab Debat Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (KDBM Putra) meraih naib juara pertandingan Debat Bahasa Melayu dan 'Speaker Corner' sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 peringkat Negeri Sembilan di KPJ Healthcare University College, Kota Seriemas, Nilai, di sini hari ini.

KDBM Putra diwakili oleh pelajar semester dua, Bachelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Muhammad Zulfakhri Zulkifli, Muhammad Hakim Nor Zamani daripada Bachelor Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM dan pelajar Bachelor Sains Statistik Dengan Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Nur Ain Aqilah Rosli.

Wakil pasukan, Muhammad Zulfakhri meluahkan rasa syukur dengan pencapaian tersebut kerana pasukannya telah berjaya ke pentas akhir.

"Saya bersyukur dengan pencapaian ini dan juga jadikan pertandingan ini sebagai latihan untuk pertandingan debat berprestij iaitu Debat Diraja yang bermula pada 17 September ini,” katanya.

Pasukan ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 800 dan sijil setelah tewas kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di peringkat akhir dengan usul perdebatan 'Demi mempertahankan kemerdekaan, belia Malaysia perlu lebih patriotik'.

Sementara itu, Nur Ain Aqilah mendapat tempat ketiga dalam pendebat terbaik keseluruhan dan membawa pulang wang tunai RM 100. - UPM

WXEZOA0~