| Universiti Putra Malaysia

Karnival kerjaya CanMerdeka tawar 500 pekerjaan untuk pesakit kanser

Oleh Azman Zakaria

 

SERDANG, 17 Okt - Program karnival kerjaya CanMerdeka memberi suatu harapan baharu kepada pesakit kanser yang telah hilang pekerjaan untuk kembali bekerja kerana majikan yang menyertai program itu menyediakan lebih 500 tawaran pekerjaan, khas untuk golongan berkenaan.

Program unik itu yang bertujuan membantu pesakit kanser memperoleh peluang pekerjaan dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE, UPM), dan JobsMalaysia, diadakan di FPSK di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Dengkil, Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata, program itu memberi impak yang boleh dijana hasil daripada kerasama pelbagai organisasi yang bersatu membantu rakyat.

“Saya menyarankan supaya kolaborasi daripada setiap pihak berkepentingan dapat diwujudkan dengan mengadakan lebih banyak program melibatkan agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika merasmikan program karnival kerjaya CanMerdeka itu.

 

Beliau berharap usaha murni seperti itu akan berterusan, dan lebih banyak pihak akan menganjurkan program seumpama itu di kawasan lain untuk membantu pesakit kanser memperoleh peluang pekerjaan.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Zamberi Sekawi pula berkata, karnival kerjaya CanMerdeka itu adalah sebahagian daripada pencegahan tertier, iaitu satu daripada tiga peringkat pencegahan kesihatan. Dua lagi peringkat pencegahan kesihatan secara amnya ialah primer dan sekunder yang antaranya meliputi kempen kesedaran dan saringan kesihatan.

Beliau berharap melalui karnival kerjaya CanMerdeka itu, pesakit kanser akan dikurniakan peluang pekerjaan dan dapat menyara diri serta keluarga masing-masing. - UPM

 

WXETJAK~