| Universiti Putra Malaysia

"Junior Aerospace Scientist" pupuk minat aeroangkasa kanak-kanak

Penerangan mengenai sistem dan operasi dron

SERDANG, 22 Mac - Seramai 34 orang kanak-kanak berumur antara 8 hingga 12 tahun menyertai program Junior Aerospace Scientist  yang melibatkan beberapa aktiviti seperti penghasilan kapal terbang, helikopter dan roket menggunakan kertas dan straw, serta demonstrasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan belon udara.

Program sempena cuti sekolah itu diadakan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Ia dianjurkan oleh Persatuan Aeroangkasa Malaysia (AEROS Malaysia) dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM.

Ketua program itu, Dr. Dayang Laila Abang Abdul Majid berkata tujuan utama penganjuran program adalah untuk menarik minat serta memupuk bakat kanak-kanak dalam bidang sains, terutamanya yang berkaitan dengan aeroangkasa.

Katanya, selaras dengan perkembangan pesat industri aeroangkasa di Malaysia, terdapat keperluan untuk memberi inspirasi dan membentuk saintis, jurutera serta peneroka bidang aeroangkasa bagi generasi seterusnya.   

Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila penyertaan program itu habis ditempah dalam masa dua hari selepas dibuka. Situasi itu telah dijangka memandangkan peluang kanak-kanak untuk mengikuti program aeroangkasa seumpama itu adalah terhad.

Ekoran sambutan luar biasa yang diterima serta reaksi positif daripada ibu bapa peserta, pihak AEROS Malaysia akan mengadakan lagi program seumpama itu di masa akan datang, terutamanya ketika cuti sekolah.

Ini merupakan program sulung persatuan AEROS Malaysia yang ditubuhkan pada Januari lalu. Ia dijayakan oleh beberapa ahli persatuan yang juga merupakan  pensyarah dan pelajar di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM.

Keahlian persatuan AEROS Malaysia terbuka kepada semua profesional dalam bidang aeroangkasa dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian berkaitan aeroangkasa.  

AEROS Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Fakulti Kejuruteraan, UPM atas kerjasama menjayakan program itu. Sebarang maklumat mengenai persatuan AEROS Malaysia boleh diperolehi melalui emel kepada secretary@aerosmalaysia.my atau laman sesawang www.aerosmalaysia. my

SXDdNAT~