| Universiti Putra Malaysia

Jenama sendiri graduan “Peroy Apparel” tembusi pasaran Timur Tengah

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun


SERDANG, 27 Nov - Ahmad Khairul Amir Kamaluddin, 24, membuktikan tiada yang mustahil untuk berjaya dalam dunia perniagaan percetakan baju sungguhpun sedang menuntut di menara ilmu dalam bidang Bacelor Pendidikan Kaunseling apabila jenama sendiri ‘Peroy Apparel’ menembusi pasaran hingga ke Timur Tengah.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata selain mendapat tempahan dari Jordan dan Mesir, beliau juga mendapat tempahan dari negara jiran Indonesia.

“Dalam masa yang terdekat ini saya akan menghantar baju ke Filipina pula. Saya sangat bersyukur kerana penerimaan daripada negara luar sangat positif terhadap cetakan baju yang saya keluarkan walaupun saya masih seorang pelajar.

“Saya akui memang banyak cabaran kerana sebagai pelajar pendidikan saya banyak keluar ke sekolah menghabiskan jam kredit pembelajaran, praktikal dan sebagainya. Saya juga pernah dimarah pelanggan kerana penghantaran lambat namun cara mengatasi masalah ini ialah melalui komunikasi yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai kemahiran komunikasi beliau berkata penglibatannya dalam Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KBDM PUTRA) banyak membantunya mengembangkan perniagaan bajunya.

“Saya banyak belajar daripada KBDM PUTRA yang banyak memberikan saya ilmu komunikasi dan saya bawa dalam perniagaan saya termasuk kurus elektif perniagaan yang saya ikuti di UPM. Kawan-kawan dan persatuan yang ada di UPM juga banyak menyokong membeli baju daripada saya.

“Perancangan saya dalam masa dua tahun saya ingin mengembangkan perniagaan menerusi agensi setiap negeri untuk menguruskan perniagaan saya,” katanya.

Sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-46 ini, Khairul turut menerima Anugerah Khas Fakulti Pengajian Pendidikan. -UPM

WXEYAAw~