| Universiti Putra Malaysia

Jaket MRV mudahkan bantu mangsa bencana alam, kemalangan

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 19 April: Bantuan kecemasan dan keselamatan segera dapat diberikan oleh anggota penyelamat kepada mangsa bencana alam dan kemalangan, melalui inovasi jaket keselamatan ‘Medical Rescue Vest’ (MRV) yang menggabungkan fungsi ‘tiga dalam satu’ pada jaket itu.

MRV mengandungi ruang penyimpanan kit bantuan kecemasan di kiri dan kanan jaket lengkap dengan zip, boleh dijadikan penyusung yang dilengkapi pemegang untuk menyusung, dan pelampung di bahagian kolar jaket.

Jaket pelbagai guna yang selesa dipakai oleh anggota penyelamat itu direkabentuk sebagai peralatan menyelamat di peringkat awal kemalangan kerana peralatan-peralatan bantuan awal tersedia pada MRV itu.

Dengan berat jaket kira-kira 1.5 kg, ia mudah dan selesa dipakai oleh anggota penyelamat ketika tugas mencari dan menyelamat.

Penyelidik dan pensyarah kanan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Shahrizal Dolah berkata, bantuan awal dan rawatan segera amat perlu diberikan kepada mangsa kemalangan atau mangsa bencana alam.

Kelewatan memberi bantuan boleh menyebabkan mangsa meninggal dunia, katanya sambil memetik laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2015, yang menyatakan bahawa kebanyakan kes kematian ketika bencana alam adalah kerana kelewatan memberi rawatan ketika kejadian.

“Objektif MRV adalah untuk membantu anggota penyelamat mengurangkan kematian semasa operasi pada peringkat awal bencana alam atau kemalangan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini anggota penyelamat hanya memakai jaket keselamatan biasa, manakala ubat-ubatan dibawa oleh anggota perubatan lain yang menyebabkan anggota penyelamat yang tiba awal di lokasi terpaksa menunggu ubat-ubatan yang dibawa oleh pasukan perubatan.

MRV diperbuat daripada fabrik nilon dan vinil, yang kukuh dan tahan pelbagai keadaan cuaca, manakala pelampungnya diperbuat daripada bahan Ethylene Vinyl Acetate (EVA).

Jaket MRV itu dilengkapi dengan lapisan pemantul cahaya, tali pinggang dan pengancing, manakala pengusungnya dilipat di bahagian belakang jaket dan dibuka apabila hendak dijadikan pengusung.

 

Dalam kes seperti kemalangan atau insiden yang berlaku di permukaan air, katanya, pelampung itu boleh mengapungkan mangsa di permukaan air untuk diselamatkan dan diberi rawatan kecemasan awal menggunakan peralatan dan ubat yang disisipkan dalam ruang pada jaket.

Dr. Mohd Shahrizal yang juga ketua kumpulan penyelidik yang membangunkan MRV itu berkata, bagi kes pendaki yang cedera atau terkandas di bukit atau gunung, mereka boleh dibawa turun menggunakan MRV yang dijadikan pengusung.

Katanya, ujian di lapangan telah dijalankan terhadap pelajar yang berat badannya 75 kg dan mendapati pelampung dan pengusung MRV boleh digunakan secara selesa untuk individu dengan berat seperti itu.

MRV direkabentuk oleh pelajar pengajian siswazah Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Juliza Jamian. Ahli-ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah Prof. Madya Dr. Raja Ahmad Azmeer Raja Ahmad Effendi, Dr. Saiful Hasley Ramli, dan Shahrul Azman Shahbudin.

Ia mula dibangunkan pada 2015 dan siap pada 2016 dan kini dalam peringkat pra-komersial (pre-commerlisation) dan melalui ujian kekuatan (strength test) untuk mendapatkan pengesahan SIRIM.

MRV memenangi pingat perak pada Malaysia Technology Expo 2018. - UPM

    

 

 

 

SXDcTA7~