| Universiti Putra Malaysia

Jabatan Fizik UPM Hargai Kecemerlangan Pelajar Meskipun Secara Maya.

Oleh: Che Norizawati Mohd Satar

SERDANG, 17 Dis – Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Fizik (KMF) meraikan 117 orang pelajar prasiswazah dan pascasiswazah yang mempamerkan kesungguhan seterusnya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam sesi pengajian 2020/2021 menerusi majlis secara maya.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Mahasiswa Jabatan Fizik (MAKeF) 2021 merupakan anugerah tahunan yang diadakan untuk memberi penghargaan kepada pelajar Jabatan Fizik yang telah berusaha mencapai PNGK cemerlang pada setiap semester.

Selaras dengan norma baharu semenjak pandemik COVID-19 melanda, majlis tersebut berjalan dengan meriah serta kehadiran hampir seluruh warga Jabatan Fizik dan ahli keluarga secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom dan laman Facebook “Kelab Mahasiswa Fizik” (KMF) UPM”.

Pada tahun ini anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal Siswazah, Anugerah Adisiswa Fizik, dan Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz.

Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Suriati Paiman memberi kata-kata motivasi untuk disemat sebagai inspirasi dan pendorong semangat kepada semua pelajar di Jabatan Fizik. Beliau berharap agar pelajar dapat merancang strategi akademik dan kokurikulum dengan teratur supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri, ibu bapa serta para pensyarah.

Pemenang Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz dan Anugerah Adisiswa Fizik, Habibuzzikri Ajeman berkata, beliau amat bersyukur dengan anugerah yang dimenanginya kerana beliau tidak menjangkakan untuk menerima dua anugerah pada majlis tersebut.

Beliau turut memberikan perkongsian dan petua dalam mengimbangi bidang akademik dan kokurikulum.

Dalam pada itu, Prof. Dr Sidek Hj Abdul Aziz, penaja MAKeF 2021 turut u merakamkan ucapan penghargaan kepada pelajar Jabatan Fizik, kerana berjaya melaksanakan majlis penghargaan yang gilang gemilang itu.

Beliau juga membuat kejutan iaitu dengan menaja Habibuzzikri Ajeman selaku penerima Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz, menginap di Denai Desa selama 3 hari 2 malam.

Pengarah MAKef 2021, Nur Aeisa Sofea Noor Azimi yang juga pelajar tahun dua Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian) berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian Jabatan Fizik yang mampu mencipta kecemerlangan walaupun pandemik melanda seluruh dunia.

“Objektif MAKeF pada tahun ini adalah untuk memberikan inspirasi yang unggul kepada mahasiswa Jabatan Fizik untuk melakar kecemerlangan yang konsisten sepanjang tahun,” katanya.

Turut menjayakan majlis adalah barisan jawatankuasa eksekutif yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen sebagai penasihat dan Dr. Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof sebagai pengerusi. – UPM

SXDdWAZ~