ITMA Cipta Kejayaan Dalam 20 Tahun Penubuhannya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ITMA cipta kejayaan dalam 20 tahun penubuhannya

ITMA cipta kejayaan dalam 20 tahun penubuhannya

Oleh: Azman Zakaria

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 5 Dis: Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban mahu Institut Teknologi Maju (ITMA) meneruskan kejayaan cemerlang yang dicapai sejak penubuhan institut itu 20 tahun lalu.

Beliau berharap ITMA akan terus maju dan terus memberikan sumbangan yang bermakna kepada UPM.

“Sepanjang 20 tahun penubuhannya, ITMA telah banyak memberikan sumbangan secara langsung dan tidak langsung kepada kejayaan UPM, sama ada dalam bentuk penerbitan makalah, perolehan geran, penghasilan siswazah, penganjuran konferens, jaringan kerjasama dengan institusi lain dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) dan pengkomersialan produk.

“Walaupun telah melalui beberapa penstrukturan semula, ITMA masih berdiri teguh dan memacu kejayaan demi kejayaan hasil usaha dan kerjasama teguh daripada semua penyelidik, staf dan pelajar,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zulkifli Idrus merasmikan Hari Terbuka ITMA di sini.

 

Antara kejayaan ITMA adalah perolehan geran RM28 juta di bawah Intensification of Research in Priority Area (IRPA) kelolaan MOSTI untuk projek compressed natural gas direct injection (CNGDI) yang diterajui Prof. Ir. Dr Barkawi Sahari.

ITMA juga berjaya mendapatkan geran LRGS sebanyak RM5 juta yang diketuai oleh Prof. Dr. Robiah Yunus, dan juga LRGS-Nanomite sebanyak RM5 juta yang diketuai Prof. Dr. Nor Azah Yusof.

Beliau berkata, ITMA juga aktif mempromosikan jaringan kerjasama penyelidikan antarabangsa dan mobiliti siswazah, seperti dengan universiti di Turki, serta menerajui MoU dengan beberapa universiti antaranya unversiti di Jepun, China, Iran dan Nigeria.

Pengarah ITMA, Prof. Dr. Mohd Nizar Hamidon pula berkata Hari Terbuka meraikan 20 tahun penubuhan ITMA itu bertujuan memperlihatkan kepada warga UPM, alumni ITMA dan masyarakat umum mengenai sejarah ITMA dari penubuhannya pada 1999.

Katanya, secara kumulatif, penyelidik ITMA telah menghasilkan lebih 2,500 manuskrip jurnal dengan 1,800 daripadanya adalah manuskrip jurnal berwasit (Scopus).

Beliau berkata, jumlah geran secara kumulatif pula adalah RM85,162,585 dan berjaya mengekalkan secara purata perolehan geran berjumlah lebih RM1 juta setiap tahun.

Katanya, ITMA berjaya menghasilkan 278 graduan pasca siswazah termasuk Master dan Ph.D, dan mempunyai 125 pelajar yang masih dalam pengajian, manakala bilangan paten yang difailkan adalah lima secara purata setiap tahun.

“Semua pencapaian ini adalah sangat mustahil jika tiada komitmen tinggi dan kerjasama yang amat baik daripada setiap penyelidik dan staf ITMA,” katanya dan berharap semua pihak terus memberi sokongan dan membantu melonjakkan ITMA ke institusi bertaraf dunia.

Pada majlis itu, Felo Penyelidik ITMA, Prof. Dr. Mohd Zobir Hussein menerima anugerah Jasa Setia ITMA, dan menerima plak serta sijil pengiktirafan daripada Prof. Dr. Mohammad Hamiruce - UPM

 

 

Tarikh Input: 26/12/2019 | Kemaskini: 26/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJVJAV:09:49