| Universiti Putra Malaysia

Irama muzik tambah minat pelajar dalam dunia puisi

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 6 Jun - Muzik ialah salah satu bahan pendekatan pembelajaran yang sangat penting sejak dahulu lagi kerana ia mempunyai elemen tarikan yang tersendiri dalam memberi fokus dan tarikan minat pelajar untuk belajar.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa Dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Shamsudin Othman berkata pengajaran tanpa elemen muzik sedikit membosankan kerana muzik akan memberi kekuatan penghayatan pembelajaran termasuklah dalam pembelajaran puisi.

“Muzik adalah satu pendidikan. Jadi hari ini kita lihat kalau kita membaca puisi sajak secara kaku, sememangnya pelajar akan kurang berminat dan kurang penghayatan tetapi apabila puisi ini lagukan, maka penghayatan akan lebih diberikan oleh pelajar.

“Sebenarnya dalam konteks pendidikan sejak sekolah rendah lagi pendedahan puisi secara berlagu telah disampaikan oleh guru-guru. Sebagai contohnya, pantun dua kerat darjah satu mempunyai intonasi atau lagunya yang tersendiri.

“Guru-guru sudah menyanyi dan menari dalam bilik darjah untuk pengajaran puisi pantun dan perkara ini adalah satu elemen pembacaan berirama,” katanya ketika ditemui pada Program Pengucapan Puisi Sempena Hari Guru 2023 di Dewan Putra PKPP, Kompleks Mahasiswa, UPM, baru-baru ini.

Katanya lagi pengajaran puisi di sekolah menengah perlu divariasikan lagi secara inovasi dan kreatif agar murid terus menghayati puisi dan tidak melupakan bidang ini di masa hadapan.

“Anak muda abad 20-an ini bukan tidak meminati puisi mungkin mereka ini tidak sedar sedang mengaplikasikan dunia puisi. Sebagai contoh, remaja sekarang tidak ungkapkan aku cinta padamu untuk orang yang mereka suka tetapi mereka kirimkan pesanan ringkas kau roh dalam doaku.

“Pick up line yang orang selalu guna itu pun sebenarnya bahasa puisi kerana ayatnya yang berbunga dan ringkas seperti puisi dan ini adalah jiwa yang lebih dekat dengan remaja.

“Jika kita lihat iklan milo menggunakan slogan tenaga melangkah lebih jauh dan mana-mana iklan pun menggunakan metafora, hiperbola, dan personifikasinya. Tanpa sedar masyarakat sedang berpuisi,” katanya. -UPM

SXEUDAP~